DUNIA

Thailand ambil tindakan tegas penjualan produk berproses mengandungi kanabis

Bernama 14/07/2025 | 09:12 MYT
Pegawai kesihatan awam diberi kuasa menahan dan mengenakan denda terhadap pengusaha perniagaan yang mencampurkan kanabis dalam makanan.
BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang memperhebat langkah untuk mengawal penjualan haram produk berproses yang mengandungi kanabis bagi melindungi kesihatan awam, khususnya kanak-kanak dan golongan muda.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Sasikan Watthanachan berkata kerajaan telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam, melalui Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta pejabat kesihatan awam wilayah, melaksanakan pemeriksaan ketat dan operasi penguatkuasaan terhadap produk haram berkenaan.

"Pegawai kesihatan awam diberi kuasa untuk menahan dan mengenakan denda terhadap pengusaha perniagaan yang mencampurkan kanabis dalam makanan, snek atau minuman yang mengandungi ekstrak ganja melebihi had yang dibenarkan.

"Sekiranya berlaku pelanggaran, kes itu mesti dirujuk kepada polis untuk tindakan undang-undang," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Thailand pada Isnin.

Menurut Sasikan, kementerian telah pun mengeluarkan arahan penggantungan lesen terhadap pengusaha yang melanggar undang-undang manakala kesalahan seperti mencampurkan ganja ke dalam makanan tanpa kebenaran atau kegagalan mematuhi peraturan pelabelan boleh dikenakan denda sehingga 30,000 baht (US$920), penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kerajaan Thailand turut mengulangi amaran kepada orang ramai, terutamanya ibu bapa dan remaja, mengenai bahaya pengambilan "gula-gula getah kanabis" yang mengandungi THC (tetrahidrokanabinol) dan CBD (kanabidiol).

THC, bahan psikoaktif dengan sifat ketagihan dan boleh diserap dengan cepat ke dalam aliran darah lalu memasuki otak, menyebabkan rasa tenang, euforia, kelegaan tekanan serta peningkatan emosi.

Pengambilan dalam kuantiti yang banyak - khususnya dalam kalangan kanak-kanak atau pengguna kali pertama - boleh menyebabkan degupan jantung laju, muntah, pening, penglihatan kabur, kelemahan otot, halusinasi, halusinasi pendengaran, paranoia, pernafasan laju dan tekanan darah tinggi.

Pada 6 Julai, media tempatan Thailand melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dimasukkan ke hospital selepas secara tidak sengaja memakan 10 biji gula-gula yang dicampur dengan kanabis.

-- BERNAMA

#Thailand #larangan #produk makanan #kanabis #produk berproses