Skip to main content

Dunia

Thailand beri amaran: Pelancong asing langgar undang-undang bakal diusir

Tourists are seen inside the Grand Palace, one of the favourite tourist spots in Bangkok, Thailand, May 20, 2025. REUTERS/Athit Perawongmetha
Menurut peraturan baharu yang disiarkan dalam Warta Diraja Thailand, negara itu kekal mengalu-alukan warga asing untuk melancong, bekerja dan menjalankan perniagaan, namun, terdapat segelintir yang gagal mematuhi undang-undang tempatan. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

BANGKOK: Kerajaan Thailand memberi amaran bahawa pelancong asing yang dianggap bermasalah boleh berdepan tindakan diusir susulan penguatkuasaan peraturan baharu berkaitan pengusiran warga asing yang disabitkan kesalahan jenayah, bermula Jumaat.

Langkah itu diambil ketika negara Asia Tenggara tersebut meningkatkan pemantauan terhadap tingkah laku pelawat asing, di tengah-tengah kebergantungan Thailand kepada sektor pelancongan yang menarik puluhan juta pengunjung setiap tahun menerusi tarikan pantai dan warisan budayanya.

Menteri Pelancongan Thailand, Surasak Phancharoenworakul berkata, pelancong atau pekerja asing yang melanggar undang-undang perlu meninggalkan negara itu.

Kenyataan beliau dibuat menjelang pelaksanaan peraturan baharu yang menetapkan kaedah pengusiran warga asing selepas mereka disabitkan kesalahan dan selesai menjalani hukuman bagi jenayah tertentu.

Antara kesalahan yang boleh membawa kepada deportasi termasuk tinggal melebihi tempoh visa, bekerja atau menjalankan perniagaan secara haram, menggunakan atau menghasilkan dokumen palsu, serta kesalahan lain yang memperuntukkan hukuman penjara melebihi lima tahun.

Langkah itu telah diluluskan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul pada Julai lalu dan disifatkan sebagai usaha untuk melindungi nilai budaya Thailand.

Sebelum ini, kebanyakan kes penghantaran pulang dipertimbangkan secara berasingan berdasarkan keadaan setiap individu.

Menurut peraturan baharu yang disiarkan dalam Warta Diraja Thailand, negara itu kekal mengalu-alukan warga asing untuk melancong, bekerja dan menjalankan perniagaan, namun, terdapat segelintir yang gagal mematuhi undang-undang tempatan.

Surasak turut menyatakan bahawa peraturan tersebut bertujuan menangani kehadiran "warga asing berkualiti rendah" yang mengganggu ketenteraman awam.

Pada Mei lalu, Thailand mengumumkan pengurangan tempoh lawatan tanpa visa bagi pelancong dari kebanyakan negara daripada 60 hari kepada 30 hari.

Keputusan itu dibuat susulan beberapa tangkapan berprofil tinggi membabitkan warga asing atas kesalahan berkaitan dadah, pemerdagangan seks serta pengendalian perniagaan seperti hotel dan sekolah secara haram.

Sejak itu, beberapa insiden melibatkan pelawat asing turut mencetuskan perdebatan umum.

Pada Julai lalu, Kedutaan Itali memohon maaf selepas rakaman video sekumpulan pelajar Itali yang bertindak bising dan tidak sopan di dalam sebuah tren di Bangkok menjadi tular.

Sementara itu pada Mei, pihak berkuasa Thailand mengusir seorang warga Sepanyol dan seorang warga Peru selepas pasangan tersebut ditangkap melakukan hubungan intim di tempat awam, yang dianggap sebagai kesalahan tidak senonoh di bawah undang-undang negara itu.

Bagaimanapun, penganalisis mengingatkan bahawa Thailand perlu mencari keseimbangan antara penguatkuasaan lebih ketat dan kebergantungan ekonomi terhadap sektor pelancongan, yang menyumbang kira-kira 13 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kerajaan Thailand menjangkakan ketibaan kira-kira 33.5 juta pelancong asing pada 2026, meningkat berbanding hampir 33 juta pelawat yang direkodkan pada 2025.

Sejak awal tahun ini, negara itu telah menerima 18 juta pelancong asing. 

Namun, angka ketibaan tersebut menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement