DUNIA

Thailand buka pendaftaran calon di seluruh negara menjelang pilihan raya 8 Feb

Bernama 27/12/2025 | 12:45 MYT
Thailand pada Sabtu memulakan tempoh kempen bagi pilihan raya umum 8 Feb apabila parti politik di seluruh negara mula mendaftarkan calon masing-masing untuk bertanding bagi kerusi Dewan Perwakilan. - Foto REUTERS
BANGKOK: Thailand pada Sabtu memulakan tempoh kempen bagi pilihan raya umum 8 Feb apabila parti politik di seluruh negara mula mendaftarkan calon masing-masing untuk bertanding bagi kerusi Dewan Perwakilan.


Ringkasan AI
  • Thailand memulakan tempoh kempen bagi pilihan raya umum pada 8 Feb, dengan parti politik mula mendaftar calon di Bangkok dan 76 wilayah lain.
  • Calon dikehendaki mengemukakan permohonan secara bersemuka kepada pegawai pilihan raya daerah masing-masing, sambil mematuhi garis panduan yang dikeluarkan.
  • Pengundian akan diadakan pada 8 Feb 2026, dengan pengundian awal pada 1 Feb, di mana pengundi akan memilih 500 Ahli Dewan Perwakilan untuk tempoh lima tahun di bawah sistem pilihan raya dua undi Thailand.


Pendaftaran calon dibuka pada Sabtu dan akan berlangsung sehingga 31 Dis, dari 8 pagi hingga 4.30 petang (waktu tempatan), di seluruh Bangkok dan 76 wilayah lain.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (ECT), calon dikehendaki mengemukakan permohonan secara bersemuka kepada pegawai pilihan raya daerah masing-masing.

Di Bangkok, Pusat Belia Bangkok (Thai-Jepun) di Din Daeng, yang menjadi lokasi pendaftaran calon bagi 33 kawasan pilihan raya di ibu negara, menyaksikan kehadiran ramai calon dan penyokong sejak awal pagi.

Antara yang hadir ialah calon perdana menteri Parti Pheu Thai Yodchanan Wongsawat, pemimpin Parti Rakyat dan calon perdana menteri Natthaphong Ruengpanyawut, ketua Parti Demokrat dan calon perdana menteri Abhisit Vejjajiva, serta penyelaras Parti Bhumjaithai di Bangkok, Ekanat Promphan.

Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Bangkok, Samphan Saengkamlaert, berkata proses pendaftaran bermula awal Sabtu dengan calon hadir mengikut kawasan masing-masing bagi mengemukakan dokumen dan melengkapkan prosedur pengesahan.

"Calon boleh memulakan kempen sebaik menerima nombor pengenalan dan dibenarkan memaparkan nombor berkenaan pada bahan kempen," katanya kepada pemberita di Pusat Belia Bangkok.

Beliau menambah bahawa Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Bangkok telah mengeluarkan garis panduan jelas mengenai lokasi yang dibenarkan untuk mempamerkan bahan kempen, sambil mengingatkan calon supaya tidak menghalang lalu lintas, mengganggu pandangan atau menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya dan orang awam.

Samphan berkata pihaknya bersedia sepenuhnya bagi proses pendaftaran calon di kesemua 33 kawasan pilihan raya, sambil mengingatkan penyokong supaya tidak mengadakan sebarang bentuk sambutan atau aktiviti hiburan yang boleh melanggar undang-undang pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 8 Feb 2026 sebagai hari pengundian bagi pemilihan Ahli Dewan Perwakilan, manakala pengundian awal dijadualkan pada 1 Feb.

Di bawah sistem pilihan raya dua undi Thailand, pengundi akan memilih 500 Ahli Dewan Perwakilan untuk tempoh lima tahun, dengan kesemua kerusi dipertandingkan.

-- BERNAMA





#Thailand #daftar calon #pilihan raya #tempoh kempen