DUNIA

Thailand buru tujuh suspek rompakan bersenjata di Sungai Golok lari ke Malaysia

Bernama 30/10/2025 | 11:00 MYT
Pasukan keselamatan Thailand akan terus meningkatkan usaha mengesan dan menahan kesemua yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin. - Gambar fail
YALA: Pasukan keselamatan Thailand sedang memburu tujuh daripada 10 suspek lelaki yang dipercayai telah melarikan diri ke Malaysia selepas kejadian rompakan bersenjata di sebuah kompleks beli-belah di Sungai Golok, Narathiwat, pada 5 Okt lepas.


Ringkasan AI
  • Pasukan keselamatan Thailand sedang memburu tujuh daripada 10 suspek rompakan bersenjata di kompleks beli-belah Big C, Sungai Golok, yang dipercayai melarikan diri ke Malaysia, dengan kerjasama risikan rentas sempadan bersama pihak berkuasa Malaysia.
  • Siasatan mendapati kumpulan penjenayah itu terlibat dalam aktiviti haram seperti pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia, dan dipercayai melakukan rompakan akibat saluran kewangan haram mereka disekat oleh kerajaan Thailand.
  • Tiga suspek telah ditahan pada 15 Oktober, manakala tujuh lagi masih diburu dengan waran tangkap sedia ada. Pihak berkuasa Thailand berikrar untuk terus menjejaki mereka dan membawa kesemua suspek ke muka pengadilan melalui saluran undang-undang.


Panglima Tentera Wilayah Ke-4 Thailand, Leftenan Jeneral Naratip Poynok berkata pihaknya telah bekerjasama dengan pasukan keselamatan Malaysia menerusi pertukaran maklumat risikan rentas sempadan bagi memudahkan tindakan diselaraskan.

"Insiden ini dipercayai dilakukan oleh sekumpulan penjenayah yang terdesak selepas saluran kewangan haram mereka disekat oleh kerajaan.

"Pasukan keselamatan Thailand percaya rompakan di kompleks beli-belah Big C baru-baru ini berpunca daripada langkah kerajaan mengetatkan dan memutuskan aliran kewangan haram kumpulan tersebut," katanya kepada media Malaysia menerusi jurubahasa tempatan pada sesi temu bulan khas di Fort Sirindhorn di sini hari ini.

Naratip berkata siasatan mendedahkan kumpulan itu sebelum ini mengumpul wang menerusi aktiviti haram termasuk pengedaran dadah, penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia.

Beliau berkata usaha pihak berkuasa menyekat sumber kewangan kumpulan itu telah menjejaskan operasi mereka, memaksa penjenayah tersebut mencari sumber kewangan baharu untuk meneruskan aktiviti jenayah mereka di samping cuba mensabotaj ekonomi dan perniagaan tempatan di kawasan berkenaan.

Naratip, yang juga Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah Ke-4 (Selatan) berkata pihak berkuasa akan terus menjejaki dan menahan suspek supaya dapat dibawa ke muka pengadilan melalui saluran undang-undang yang sah.

"Pasukan kami bersama-sama Polis Diraja Thailand telah memohon waran tangkap daripada mahkamah terhadap ketujuh-tujuh suspek ini berdasarkan kepada bukti forensik kukuh yang mengesahkan pembabitan mereka dalam rompakan tersebut.

"Kesemua suspek juga mempunyai waran tangkap sedia ada di bawah Kanun Tatacara Jenayah bagi beberapa kes berkaitan keselamatan dalaman di wilayah selatan dan ketika ini masih dalam buruan," katanya.

Beliau menambah tiga lagi suspek ditahan pada 15 Okt lepas di tiga lokasi berasingan di Sungai Padi, Narathiwat.

Naratip menegaskan pasukan keselamatan Thailand akan terus meningkatkan usaha mengesan dan menahan kesemua yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Pada 5 Okt lepas, 10 lelaki bersenjata merompak kedai emas di kompleks beli-belah Big C yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia, menyebabkan berlaku insiden berbalas tembakan dan seorang anggota polis cedera.

Insiden yang berlaku pada kira-kira 6.30 petang itu disusuli dua letupan di Sungai Golok.

-- BERNAMA



#kes samun #Sungai Golok #perompak lari ke Malaysia #Thailand