DUNIA

Thailand di peringkat awal proses pembebasan 18 anggota tentera Kemboja

Bernama 04/11/2025 | 23:30 MYT
Nikorndej ketika berucap pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, 25 Okt 2025. - Gambar fail/BERNAMA
BANGKOK: Thailand kini berada di peringkat awal proses pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan di negara itu susulan kemajuan terhadap empat syarat utama yang dipersetujui sebelum ini.


Ringkasan AI
  • Thailand berada dalam proses pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan setelah memenuhi empat syarat utama yang dipersetujui sebelum ini.
  • Syarat-syarat termasuk pengunduran senjata berat dari sempadan, pembersihan periuk api, pembanterasan jenayah rentas sempadan, serta pengurusan berkesan di zon sempadan.
  • Thailand mengesahkan bahawa tiada keadaan perang antara Thailand dan Kemboja, menjadikan pembebasan 18 tahanan ini sebagai satu langkah penting bagi kedamaian serantau.


Jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura berkata Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) telah dijemput untuk bertemu dengan para tahanan dan mengesahkan bahawa mereka berada dalam keadaan baik.

Rabu lepas, jurucakap Tentera Darat Diraja Thailand Mejar Jeneral Winthai Suwaree berkata Thailand akan mempertimbangkan pembebasan 18 tahanan berkenaan sebaik sahaja keempat-empat syarat itu dipenuhi.

Syarat-syarat itu termasuk pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan, pembersihan periuk api, pembanterasan rangkaian jenayah rentas sempadan serta pengurusan berkesan di zon sempadan.

"Memandangkan kemajuan telah dicapai dalam empat syarat berkenaan, kami kini menjalankan penilaian harian bagi menentukan masa yang sesuai untuk pembebasan mereka," kata Winthai.

Nikorndej senada dengan penilaian pihak tentera.

"Pada masa ini, terdapat kemajuan dalam pelaksanaan empat syarat itu, dan Thailand kini berada di peringkat awal melaksanakan tanggungjawabnya untuk membebaskan 18 tahanan itu," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata Thailand tidak menganggap 18 individu itu sebagai tawanan perang memandangkan tiada keadaan perang antara Thailand dan Kemboja.

Pada 26 Okt lepas, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja Hun Manet telah menandatangani Perjanjian Damai KL yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Dalam deklarasi bersama itu, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan langkah pengurangan ketegangan ketenteraan di bawah pemerhatian dan pengesahan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), termasuk pengunduran senjata berat dan berbahaya dari kawasan sempadan untuk dikembalikan ke pangkalan tentera masing-masing.

-- BERNAMA


#konflik Thailand-Kemboja #pembebasan tahanan Kemboja #Perjanjian Damai KL #syarat keselamatan sempadan