DUNIA

Thailand, Kemboja adakan mesyuarat khas JBC untuk perkukuh kerjasama sempadan

Bernama 20/10/2025 | 21:00 MYT
Objektif utama ialah menyelesaikan isu sempadan Thailand-Kemboja melalui mekanisme dua hala sedia ada.
BANGKOK: Thailand dan Kemboja akan mengadakan sesi khas dua hari bagi Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) di Wilayah Chanthaburi, timur Thailand bermula Selasa ini bagi menangani ketegangan di perbatasan serta meningkatkan kerjasama dalam penandaan sempadan dan keselamatan.

Jurucakap Kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat berkata, sesi itu akan membina kesinambungan daripada perbincangan sebelum ini bagi memastikan keselarasan dengan rangka kerja Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) dan Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC), dengan matlamat mengembalikan keamanan dan kestabilan di sepanjang sempadan bersama.

"Objektif utama ialah menyelesaikan isu sempadan Thailand-Kemboja melalui mekanisme dua hala sedia ada.

"JBC akan membincangkan langkah-langkah keselamatan termasuk pembinaan pagar sempadan, mempercepatkan semakan Terma Rujukan (TOR) 2003 serta penggunaan teknologi LiDAR untuk pemetaan," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, perbincangan turut akan merangkumi isu pencerobohan di Ban Nong Chan dan Ban Nong Ya Kaeo di Wilayah Sa Kaeo, sambil memberi jaminan bahawa Mesyuarat JBC tidak akan menjejaskan hak kedaulatan Thailand sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian isu sempadan melalui cara aman dan mengikut undang-undang.

Siripong menegaskan bahawa pelaksanaan di setiap peringkat - RBC, GBC dan JBC - tidak dijalankan oleh mana-mana agensi secara bersendirian.

"Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada perancangan strategik kerajaan melalui penyelarasan dengan agensi keselamatan dan Kementerian Luar untuk memastikan manfaat maksimum kepada negara dan rakyat," katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan, Laksamana Muda Surasak Kongsiri berkata, Mesyuarat GBC seterusnya akan diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 23 Okt dengan penyertaan Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai pemerhati.

Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer meningkat menjadi konfrontasi ketenteraan pada akhir Julai. Pertempuran itu berhenti serta-merta selepas perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 28 Julai di Putrajaya.

-- BERNAMA





#rundingan #Kemboja #Isu Sempadan #Thailand #Mesyuarat Khas