DUNIA

Thailand, Kemboja minta sokongan PBB tangani konflik sempadan yang memuncak

Bernama 26/07/2025 | 10:06 MYT
Campur tangan segera masyarakat antarabangsa amat diperlukan memandangkan konflik itu telah menyebabkan ribuan rakyat berpindah untuk menyelamatkan diri. - Reuters
BANGKOK: Ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja yang kini memasuki hari ketiga mendorong kedua-dua negara itu mengemukakan isu berkenaan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Jumaat, dengan Thailand menggesa penghentian segera permusuhan dan kembali ke meja rundingan.

Kemboja pula memohon campur tangan antarabangsa sambil memberi amaran bahawa pertempuran berterusan boleh menjejaskan kestabilan rantau ini.

Bercakap dalam mesyuarat tertutup UNSC di New York, Duta dan Wakil Tetap Thailand ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cherdchai Chaivaivid, mengulangi penolakan Thailand terhadap penggunaan kekerasan sebagai jalan menyelesaikan pertikaian antarabangsa.

Beliau menegaskan komitmen tegas Thailand terhadap penyelesaian secara aman sejajar dengan Piagam PBB.

"Thailand menggesa Kemboja menghentikan serta-merta semua permusuhan dan serangan, serta menyambung semula dialog secara jujur," katanya kepada majlis itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada media.

UNSC mengadakan sesi tergempar pada Jumaat di bawah agenda "Ancaman terhadap Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa", dengan memberi tumpuan kepada konflik sempadan Thailand-Kemboja susulan insiden yang meragut nyawa itu.

Cherdchai berkata Thailand telah berusaha secara aktif untuk berunding dengan Kemboja sepanjang dua bulan lepas melalui pelbagai mekanisme dua hala, termasuk Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC), bagi menyelesaikan perbezaan dan mengelakkan ketegangan daripada terus meningkat.

Sementara itu, Duta dan Wakil Tetap Kemboja ke PBB, Chhea Keo, menyeru PBB dan ASEAN supaya campur tangan bagi membantu menyelesaikan pertikaian sempadan itu, sambil memberi amaran bahawa kegagalan bertindak boleh menjejaskan kestabilan serantau.

Beliau berkata campur tangan segera masyarakat antarabangsa amat diperlukan memandangkan konflik itu telah menyebabkan ribuan rakyat Kemboja berpindah untuk menyelamatkan diri.

"Kami turut menyeru dengan segera kepada semua anggota Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB, ASEAN, serta rakan dan sekutu antarabangsa kami.

"Jika konflik ini berlarutan, keamanan dan kestabilan seluruh rantau Asia Tenggara akan terancam. Kini masanya untuk menghentikan pencerobohan bersenjata yang tidak diprovokasi dan menyalahi undang-undang terhadap Kemboja," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan di Phnom Penh.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa menyokong usaha Kemboja untuk mencapai keamanan dan menggesa Thailand bersetuju dengan gencatan senjata sepenuhnya.

Chhea Keo juga mencadangkan agar semua pertikaian melibatkan empat kawasan sempadan diselesaikan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sekurang-kurangnya 35,000 penduduk telah dipindahkan dari kampung-kampung di wilayah utara bersempadan dengan Thailand sejak pertempuran bersenjata tercetus pada Khamis.

Dalam pada itu, Cherdchai menegaskan bahawa Thailand menganggap Kemboja sebagai jiran rapat dan rakan dalam keluarga ASEAN.

Beliau mengakui bahawa seperti banyak negara jiran lain, Thailand dan Kemboja pernah melalui pelbagai cabaran dan perselisihan - namun ia mesti ditangani melalui dialog dan bukannya keganasan.

"Itulah sebabnya kami berada di dewan ini hari ini. Pendirian Thailand jelas dan konsisten: kami menjunjung prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain serta menghormati sepenuhnya kedaulatan negara dan integriti wilayah - prinsip yang menjadi asas kepada sistem antarabangsa dan kestabilan serantau," katanya.

Pasukan tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada awal Khamis di kawasan sempadan yang dipertikaikan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain sebagai pencetus keganasan terbaharu itu.

Ketegangan ini tercetus susulan insiden tembak-menembak antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear pada 28 Mei lepas yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

-- BERNAMA

#Kemboja #Thailand #ketegangan #PBB #campur tangan