DUNIA

Thailand lancar serangan udara di sempadan Kemboja

Astro Awani 26/12/2025 | 22:50 MYT
Menurut Tentera Udara Thailand, serangan itu menyasarkan kedudukan kubu tentera Kemboja selepas penduduk awam diarahkan meninggalkan kawasan terbabit. - Gambar AP
BANGKOK: Thailand melancarkan serangan udara ke atas kawasan sempadan yang dipertikaikan dengan Kemboja pada Jumaat, ketika rundingan antara pegawai kedua-dua negara masih berlangsung bagi menamatkan pertempuran yang berlarutan.

Menurut Tentera Udara Thailand, serangan itu menyasarkan kedudukan kubu tentera Kemboja selepas penduduk awam diarahkan meninggalkan kawasan terbabit.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa, Thailand melancarkan serangan rambang ke atas kawasan penempatan awam, mengakibatkan beberapa orang cedera.

Pertempuran kembali tercetus awal bulan ini, meskipun satu gencatan senjata telah dipersetujui pada Julai lalu yang sebelum itu berjaya menghentikan lima hari pertempuran sengit di sepanjang sempadan.

Sejak konflik itu kembali memuncak, sekurang-kurangnya 41 orang dilaporkan terbunuh manakala hampir satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Kedua-dua negara saling menyalahkan antara satu sama lain atas kegagalan gencatan senjata tersebut.

Sejak itu, pertempuran merebak ke hampir seluruh kawasan sepanjang sempadan Thailand-Kemboja yang menjangkau kira-kira 500 batu atau 800 kilometer.

Kementerian Pertahanan Kemboja memaklumkan, serangan udara pada Jumaat berlaku di wilayah barat laut Banteay Meanchey, dengan sehingga 40 bom digugurkan oleh jet pejuang F-16 milik Thailand.

Serangan itu berlaku ketika rundingan antara Thailand dan Kemboja memasuki hari ketiga dalam usaha meredakan ketegangan.

Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja telah berlarutan lebih satu abad, dengan pertempuran berskala kecil tercetus secara berkala dan mengorbankan anggota tentera serta orang awam di kedua-dua pihak.

Ketegangan terbaharu tercetus pada Mei lalu selepas seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam satu pertempuran, sebelum keadaan memuncak pada 24 Julai apabila Kemboja melancarkan serangan roket ke wilayah Thailand.

Serangan itu kemudiannya dibalas dengan serangan udara oleh Thailand, mencetuskan pertempuran sengit selama lima hari yang mengorbankan puluhan anggota tentera dan orang awam.



#Thailand #Kemboja #konflik Thailand-Kemboja #serangan udara