Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
DUNIA

Thailand lancar serangan udara di sempadan Kemboja, sekurang-kurangnya lima terbunuh

Astro Awani 08/12/2025 | 23:30 MYT
Seorang anggota tentera yang cedera dibawa ke hospital selepas pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan di Wilayah Sisaket, Thailand. - Foto REUTERS
BANGKOK: Ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja kembali memuncak apabila tentera Thailand melancarkan serangan udara pada Isnin, susulan pertelingkahan terbaru yang menyaksikan kedua-dua negara saling menuduh melanggar gencatan senjata yang dimeterai awal tahun ini.


Ringkasan AI
  • Serangan udara Thailand dilancarkan pada Isnin selepas kedua-dua negara saling menuduh melanggar gencatan senjata; sekurang-kurangnya lima maut termasuk seorang tentera Thailand dan empat orang awam Kemboja.
  • Pertempuran tercetus semula susulan insiden tembakan rentas sempadan dan peluru artileri mengenai kawasan berhampiran penempatan awam; lebih lapan anggota tentera cedera dan penduduk mula dipindahkan.
  • Konflik sempadan berlarutan sejak 2008, berkaitan tuntutan ke atas kawasan kuil Preah Vihear; komuniti antarabangsa menggesa rundingan semula bagi mengelakkan eskalasi.


Menurut pegawai keselamatan, sekurang-kurangnya seorang anggota tentera Thailand dan empat orang awam Kemboja terbunuh dalam pertempuran terbaharu itu.

Insiden ini menandakan peningkatan mendadak dalam konflik bersenjata yang telah lama membelenggu kawasan sempadan yang dipertikaikan oleh kedua-dua negara.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen, menegaskan bahawa operasi ketenteraan akan diteruskan jika perlu demi mempertahankan kedaulatan negara dan menjamin keselamatan rakyat.

Ketegangan mula meningkat sejak awal November apabila beberapa anggota tentera Thailand cedera dalam pertempuran darat, mendorong Bangkok menggantung pelaksanaan perjanjian gencatan senjata tanpa had masa.

Jurucakap tentera Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, mendakwa bahawa tentera Kemboja telah melepaskan tembakan terlebih dahulu ke arah wilayah Thailand di beberapa lokasi, mencetuskan pertempuran balas antara kedua-dua pihak.

Beliau mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya seorang tentera Thailand terbunuh dan lapan lagi cedera dalam insiden tersebut.

Tambahnya lagi, peluru artileri turut mengenai kawasan berhampiran penempatan awam di wilayah Thailand, namun tiada kematian orang awam dilaporkan setakat ini.

Pihak berkuasa kini sedang memindahkan penduduk dari kawasan yang terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.

Konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja telah berlarutan selama bertahun-tahun, dengan beberapa siri pertempuran tercetus sejak 2008, kebanyakannya berkaitan tuntutan ke atas kawasan sekitar kuil purba Preah Vihear.

Pihak antarabangsa menyeru kedua-dua negara agar kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan pertumpahan darah berterusan.






#konflik Thailand-Kemboja #serangan udara #gencatan senjata #tembakan rentas sempadan