Thailand pergiat banteras jenayah dalam talian, sasar laman sesawang perjudian

Airin berkata antara 1 Okt 2025 hingga 11 Jan 2026, DES telah menyekat sebanyak 220,486 akaun media sosial, halaman dan URL laman sesawang haram. - Gambar fail/Adobe Stock by Tuiafalken
BANGKOK: Kerajaan Thailand mempergiat operasi membanteras jenayah dalam talian dengan menyekat lebih 220,000 akaun media sosial, laman sesawang dan pelokasi sumber seragam (URL) haram sejak permulaan tahun fiskal semasa, menurut Pejabat Perdana Menteri pada Rabu.
Ringkasan AI
- Kerajaan Thailand menyekat lebih 220,000 akaun media sosial, laman sesawang, dan URL haram untuk membanteras jenayah dalam talian sejak permulaan tahun fiskal semasa.
- Tindakan itu dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat (DES) di bawah dasar segera kerajaan "Quick Win" untuk memutuskan saluran utama digunakan oleh sindiket jenayah.
- DES turut menggunakan platform 'WebD' dengan kecerdasan buatan (AI) dan proses robotik (RPA) untuk mempercepatkan penggantungan laman sesawang haram dan memantau lebih 183,000 URL berkaitan perjudian dalam talian.
"Pada bulan Disember sahaja, sebanyak 116,397 URL haram telah diturunkan. URL yang dikaitkan dengan perjudian dalam talian mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 183,977 sepanjang tempoh lebih tiga bulan bagi tahun fiskal 2026.
"Ini diikuti oleh URL berkaitan rokok elektrik (14,618), iklan alkohol (10,139), jual beli ganja (2,943), pelacuran (2,040) dan senjata api (1,990)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata kandungan lain yang turut disekat termasuk maklumat salah, penipuan, penghinaan terhadap institusi diraja (lese-majeste), ucapan kebencian dan bahan lucah yang berjumlah 4,779 URL.
Airin berkata gerakan penguatkuasaan itu selaras dengan dasar lebih luas kerajaan untuk mencegah dan menangani ancaman keselamatan serta risiko sosial, selain menunjukkan kemajuan ketara dalam memerangi jenayah dalam talian.
Beliau turut menyatakan bahawa DES telah menggunakan platform "WebD" untuk mempercepatkan penggantungan laman sesawang haram dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) dan automasi proses robotik (RPA) bagi tujuan pencarian kandungan, pengumpulan bahan bukti, penjanaan petisyen mahkamah tanpa kertas serta pengeluaran arahan automatik kepada penyedia perkhidmatan internet.
Menurutnya, kementerian itu juga menggunakan sistem "URLs Checker" untuk memantau dan mengesahkan tindakan sekatan secara berterusan, sekali gus membolehkan pihak berkuasa menutup lebih 183,000 URL berkaitan perjudian dalam talian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


