Skip to main content

Dunia

Thailand perhebat tindakan terhadap proksi warga asing di wilayah pelancongan

Walking Street in Krabi Town_thailandlife.info
Operasi dilaksanakan dalam tiga fasa, menyasarkan warga asing yang menggunakan rakyat Thailand sebagai penama atau proksi untuk memegang saham dan hak milik tanah bagi pihak mereka. - Gambar hiasan/thailandlife.info
Advertisement

PHUKET: Thailand memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap rangkaian proksi warga asing yang disyaki beroperasi di Phuket, Phang Nga, Surat Thani dan Krabi selepas pihak berkuasa memeriksa 89 lot tanah bernilai lebih 1 bilion baht baru-baru ini.

Seramai 15 warga Israel merupakan antara 67 warga asing yang ditahan polis Thailand dalam operasi yang bertujuan membendung penguasaan haram tanah dan perniagaan oleh warga asing di wilayah pelancongan utama negara itu.

Polis Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan operasi di empat wilayah berkenaan berjaya menahan 96 individu, termasuk 29 warga tempatan.

"Warga asing yang dikenakan waran tangkap terdiri daripada 15 orang rakyat Israel, Perancis (enam), Rusia (empat), Poland (dua), Switzerland (dua), Afrika Selatan (dua), United Kingdom (dua), Belanda (dua), Ukraine (dua), Slovakia (seorang), Australia (seorang), Filipina (seorang) dan Turkiye (seorang)," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Operasi yang dilaksanakan dalam tiga fasa itu menyasarkan warga asing yang menggunakan rakyat Thailand sebagai penama atau proksi untuk memegang saham dan hak milik tanah bagi pihak mereka, selain membanteras individu yang bekerja tanpa permit sah.

Polis Thailand memaklumkan operasi itu melibatkan siasatan terhadap 172 lot tanah seluas 51.38 hektar dengan nilai dianggarkan 1.671 bilion baht.

Pihak berkuasa juga sedang mengesan syarikat yang bertindak sebagai penama bagi urusan pembelian dan pemilikan tanah, yang merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Tanah Thailand.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement