Skip to main content

Dunia

Thailand perketat keselamatan penerbangan susulan kru ditahan di Australia

71676802768_BangkokThailand.jpg
Kru berkenaan bertugas mengendalikan penerbangan dari Thailand ke Melbourne pada 25 Jun apabila pihak berkuasa Australia menjumpai dadah yang disembunyikan di dalam bagasinya semasa pemeriksaan sejurus tiba. -Gambar fail
Advertisement

BANGKOK: Thailand memperketat langkah keselamatan penerbangan dan saringan terhadap kru syarikat penerbangan selepas penahanan seorang warga Thailand di Australia berhubung dakwaan menyeludup dadah.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Lalida Persvivatana berkata kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) supaya bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuh langkah pencegahan serta mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

Beliau berkata kru berkenaan bertugas mengendalikan penerbangan dari Thailand ke Melbourne pada 25 Jun apabila pihak berkuasa Australia menjumpai dadah yang disembunyikan di dalam bagasinya semasa pemeriksaan sejurus tiba.

"Kru itu kini berdepan prosiding undang-undang di Australia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Lalida menegaskan kes itu membabitkan dakwaan salah laku individu dan tidak mencerminkan industri penerbangan Thailand.

Beliau berkata kru syarikat penerbangan tertakluk kepada piawaian saringan keselamatan antarabangsa yang sama seperti penumpang, walaupun mereka menggunakan laluan khas bagi memudahkan tugas.

Bagi memperketat kawalan, beliau berkata CAAT telah diarahkan bekerjasama dengan Airports of Thailand Plc (AOT), syarikat penerbangan, Jabatan Kastam dan agensi antinarkotik untuk melaksanakan langkah lebih ketat. 

Ia termasuk pemeriksaan lebih ketat terhadap kru yang membawa barangan bagi pihak orang lain, mempertingkat perkongsian risikan serta memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi meningkatkan keupayaan mengesan risiko.

Pada Selasa, media melaporkan seorang kru wanita berusia 26 tahun ditahan selepas satu kilogram heroin dijumpai disembunyikan di dalam bagasinya sebaik tiba di Lapangan Terbang Melbourne pada Khamis lalu.

Menurut Polis Persekutuan Australia, suspek membawa 12 beg jinjing, dengan heroin itu disembunyikan pada lapisan dalam beg berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement