DUNIA

Thailand sahkan kematian seorang rakyatnya yang menjadi tebusan di Gaza

Agensi 07/06/2025 | 15:30 MYT
Nattaporn datang ke Israel dari Thailand untuk bekerja dalam sektor pertanian sebelum menjadi tebusan dalam serangan pada 7 Oktober 2024. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Kementerian Luar Thailand pada Sabtu mengesahkan kematian seorang rakyatnya yang menjadi tebusan di Gaza.


Ringkasan AI
  • Seorang rakyat Thailand, Nattaporn Pinta, disahkan terbunuh sebagai tebusan di Gaza.
  • Identiti beliau dikenal pasti melalui ujian DNA selepas mayat dibawa keluar dari Rafah dalam operasi khas Israel.
  • Kementerian Luar Thailand sedang mengurus pemulangan jenazah ke tanah air dan mengucapkan takziah kepada keluarga.


Jurucakap kementerian, Nikorndej Balankura berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Nattaporn Pinta telah dikenal pasti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan usaha membawa pulang jenazah ke tanah air sedang dilakukan.

Menurut beliau, proses pengesahan identiti dibuat di Institut Perubatan Forensik di Tel Aviv selepas mayat dibawa keluar dari kawasan Rafah dalam satu operasi khas yang dijalankan pihak berkuasa Israel.

“Malam tadi (Jumaat) pihak berkuasa Israel melaksanakan operasi khas berdasarkan maklumat risikan untuk mengambil semula mayat Nattaporn. Ujian DNA yang dilakukan kemudian mengesahkan identiti beliau.

“Kedutaan telah memaklumkan perkara ini kepada keluarga dan akan bekerjasama dengan pihak Israel untuk memulangkan jenazah mengikut kehendak keluarga,” katanya dalam satu kenyataan video yang diberi kepada pihak media.

Kementerian itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Difahamkan, Nattaporn datang ke Israel dari Thailand untuk bekerja dalam sektor pertanian sebelum menjadi tebusan dalam serangan pada 7 Oktober tahun lalu.




#Thailand #Nattaporn Pinta #Israel #tebusan