Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Thailand salur 201 juta baht untuk bantu mangsa konflik sempadan

Bernama 20/08/2025 | 09:58 MYT
Dana itu disalurkan bagi penyediaan makanan, penempatan sementara, pembaikan rumah, rawatan perubatan serta perbelanjaan pengebumian. - AP
BANGKOK: Thailand memperuntukkan lebih 201 juta baht (RM26 juta) dalam bentuk bantuan kecemasan kepada mangsa konflik sempadan Thailand-Kemboja yang menjejaskan lebih 260,000 isi rumah di tujuh wilayah sejak pertempuran tercetus pada 24 Julai.

Timbalan jurucakap kerajaan, Sasikan Watthanachan berkata dana itu disalurkan bagi penyediaan makanan, penempatan sementara, pembaikan rumah, rawatan perubatan serta perbelanjaan pengebumian.

"Selain itu, lebih dua juta barangan bantuan - termasuk pek makanan, air minuman, kit bantuan kecemasan dan pakaian - diagihkan bersama penghantaran kenderaan penyelamat, unit bekalan air mudah alih dan dapur lapangan," katanya pada sidang media di Rumah Kerajaan pada Rabu.

Sasikan berkata pertempuran itu menjejaskan tujuh wilayah, 45 daerah dan lebih 4,000 kampung, melibatkan sekitar 262,000 isi rumah sejak 24 Julai.

Beliau menambah bahawa Kementerian Dalam Negeri telah menyalurkan lebih 145 juta baht dalam bentuk dana kecemasan untuk membantu mangsa, manakala Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama agensi keselamatan sedang memeriksa laluan serta menyediakan peralatan penting.

"Sekolah di kawasan terjejas mengubah suai jadual pembelajaran mereka dengan menubuhkan pusat sementara, manakala Kementerian Pembangunan Sosial turut menyalurkan sokongan kepada mereka yang memerlukan penjagaan khas," katanya.

Ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja meningkat menjadi pertempuran bersenjata pada akhir Julai, mendorong Malaysia selaku pengerusi ASEAN ketika ini tampil sebagai pengantara neutral dan konstruktif bagi membantu menamatkan konfrontasi itu.

Kedua-dua negara bersetuju mengadakan gencatan senjata yang diusahakan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Julai, sekali gus menamatkan konflik lima hari yang menjejaskan keamanan di utara Kemboja.

Mesyuarat penting Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dihoskan Malaysia di Kuala Lumpur berakhir dengan positif selepas kedua-dua kerajaan bersetuju dengan beberapa syarat gencatan senjata bagi mengelakkan ketegangan berulang.

Susulan persetujuan itu, Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am Kemboja-Thailand telah diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos untuk membincangkan isu tersebut dengan lebih lanjut.

-- BERNAMA


#Thailand #peruntukan dana #mangsa konflik sempadan #Kemboja #penempatan #perubatan