DUNIA

Thailand sasar hasil pelancongan 2.8 trilion baht menjelang 2026 - Menteri

Bernama 13/11/2025 | 13:26 MYT
Program "Trusted Thailand" memberi pensijilan kepada hotel, restoran dan tarikan pelancongan yang memenuhi piawaian keselamatan yang ketat. - AP
BANGKOK: Thailand menyasarkan untuk menjana hasil pelancongan sebanyak 2.8 trilion baht (100 baht = RM12.77) menjelang 2026 dengan pelancaran simbol "Trusted Thailand" - satu inisiatif yang dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelancong dan memperkukuh pemulihan sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan dan Sukan Atthakorn Sirilatthayakorn berkata simbol berkenaan yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) bertujuan meningkatkan keyakinan pelancongan, memberi jaminan keselamatan kepada pelancong serta menggalakkan mereka berkunjung semula ke negara itu.

"Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah menyeluruh untuk memastikan keyakinan pelancong, termasuk menambah baik standard keselamatan di lokasi pelancongan, memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan, serta memastikan komunikasi awam yang tepat," katanya pada majlis pelancaran rasmi inisiatif itu di sini pada Khamis.

Atthakorn berkata TAT menjangkakan inisiatif itu dapat membantu memulihkan keyakinan pasaran pelancongan dan menyumbang secara signifikan ke arah mencapai sasaran hasil 2.8 trilion baht menjelang 2026.

Bagaimanapun, Gabenor TAT Thapanee Kiatphaibool berkata imej pelancongan Thailand berdepan cabaran sejak tahun lalu, khususnya dalam kalangan pelancong China yang semakin memilih konsep perjalanan bebas atau Free Independent Travel (FIT) tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan.

Beliau berkata memandangkan pelancong ini mengutamakan destinasi dengan pengurusan keselamatan yang ketat, inisiatif "Trusted Thailand" memainkan peranan penting dalam memulihkan keyakinan terhadap industri pelancongan Thailand.

"Program ini menonjolkan imej Thailand sebagai destinasi yang selamat, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai 'Destinasi Pilihan Utama', berteraskan layanan mesra rakyat Thailand, keramahan serta pesona budaya yang berkekalan," katanya.

Thapanee menjelaskan bahawa program "Trusted Thailand" memberi pensijilan kepada hotel, restoran dan tarikan pelancongan yang memenuhi piawaian keselamatan yang ketat.

Beliau menambah bahawa simbol berkenaan berfungsi sebagai tanda kepercayaan, memberi jaminan keselamatan kepada pelancong serta menggalakkan kunjungan berulang.

Dari 1 Jan hingga 2 Nov tahun ini, Kementerian Pelancongan dan Sukan melaporkan bahawa Thailand mencatatkan 26.89 juta ketibaan pelancong asing, dengan Malaysia menjadi pasaran sumber terbesar sebanyak 3.88 juta pelawat, diikuti China dengan 3.8 juta.

-- BERNAMA

#Thailand #pelancongan #trusted thailand #hasil pendapatan #jaminan keselamatan