Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Thailand siap sedia anjur Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13

Bernama 25/10/2025 | 01:30 MYT
Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand mengintegrasikan promosi pelancongan untuk menaik taraf piawaian venue, memperkukuh keselamatan dan aksesibiliti, serta menggalakkan penyertaan masyarakat yang lebih luas. - - Foto Facebook Kerajaan Thai
BANGKOK: Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Artthakorn Sirilatthayakorn mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi untuk menilai persiapan negara itu bagi penganjuran Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Mesyuarat itu turut dihadiri pegawai kanan termasuk Setiausaha Tetap Natreeya Taweewong dan Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand Dr Gongsak Yodmani yang membincangkan kemajuan logistik, kesediaan venue dan penyelarasan antara agensi.

Artthakorn memuji usaha proaktif semua pihak dan menegaskan kesediaan kementerian untuk memastikan penganjuran kedua-dua acara sukan itu berjaya.

Beliau berkata temasya itu menjadi peluang bagi Thailand menonjolkan keupayaan sebagai peneraju sukan serantau serta menyemarakkan semangat kebangsaan melalui penganjuran yang gilang-gemilang.

Sukan SEA ke-33 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis 2025 di Bangkok, Chon Buri dan Songkhla, manakala Sukan Para ASEAN ke-13 akan diadakan dari 20 hingga 26 Jan 2026 di Nakhon Ratchasima.

Majlis pembukaan dan penutup akan menampilkan tema kreatif -- "ONE" bagi Sukan SEA dan "The United Heart of the Unstoppable" bagi Sukan Para ASEAN -- dengan aspek penyiaran ditingkatkan, publisiti serta kerjasama sektor swasta.

Kementerian juga mengintegrasikan promosi pelancongan melalui Jabatan Pelancongan dan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand untuk menaik taraf piawaian venue, memperkukuh keselamatan dan aksesibiliti, serta menggalakkan penyertaan masyarakat yang lebih luas.

Inisiatif ini sejajar dengan dasar pelancongan sukan kerajaan yang bertujuan merancakkan ekonomi tempatan dan memperluas manfaat komuniti hasil penganjuran temasya berprestij itu.

-- BERNAMA

#Sukan SEA #Sukan Para ASEAN #Thailand #pelancongan