INTERNATIONAL

Thailand tawar Lapangan Terbang Don Mueang untuk bantuan antarabangsa ke Myanmar

Bernama 05/04/2025 | 08:41 MYT
Lapangan Terbang Don Mueang ditawarkan Thailand untuk memudahkan mobilisasi bantuan antarabangsa kepada Myanmar yang dilanda bencana gempa bumi. - Adobe Stock
BANGKOK: Thailand menawarkan penggunaan Lapangan Terbang Don Mueang untuk memudahkan mobilisasi bantuan antarabangsa kepada Myanmar susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.

Kementerian Luar Thailand dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra menyampaikan tawaran itu semasa mesyuarat dua hala dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing yang berada di Bangkok bagi menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Teluk Bengal bagi Kerjasama Teknikal dan Ekonomi Pelbagai Sektor (BIMSTEC) Ke-6 pada Jumaat.

"Beliau mengesahkan kesediaan Thailand untuk memberikan kedua-dua bantuan kemanusiaan segera dan sokongan jangka panjang bagi usaha pemulihan. Perdana Menteri Thailand juga menawarkan penggunaan Lapangan Terbang Don Mueang bagi menyokong mobilisasi bantuan antarabangsa kepada Myanmar, sebagai pelengkap kepada usaha Myanmar," menurut Kementerian Luar Thailand pada Sabtu.

Paetongtarn turut mengucapkan takziah atas kejadian gempa bumi di Myanmar yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda yang besar.

Setakat Jumaat, angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud di Myanmar meningkat kepada 3,145 orang, dengan 4,589 lagi cedera dan 221 masih dilaporkan hilang.

Beberapa wilayah termasuk Mandalay, Bago, Magway, negeri Shan di timur laut, Sagaing dan Nay Pyi Taw turut terjejas teruk.

Mengenai pertemuan itu, Kementerian Luar Thailand berkata kedua-dua pemimpin menyambut baik hubungan erat serta komunikasi berterusan antara angkatan bersenjata kedua-dua negara di semua peringkat.

"Kedua-dua pihak komited untuk meningkatkan penyelarasan bagi menggalakkan keselamatan dan perdagangan sempadan di bawah konsep mengubah 'medan pertempuran menjadi pasaran'. Kedua-dua negara juga akan bekerjasama memerangi jenayah rentas sempadan, dengan tumpuan khusus untuk membanteras penipuan dalam talian dan penyeludupan dadah," tambahnya.

Kementerian itu berkata Perdana Menteri Thailand turut menyatakan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian moden dan penternakan dengan komuniti Myanmar di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar, seperti yang diminta oleh Ketua Junta Myanmar.

"Kerjasama ini akan membantu meningkatkan produktiviti pertanian, menyediakan pendapatan stabil untuk petani Myanmar dan menggalakkan amalan pertanian mesra alam, yang sekali gus dapat mengurangkan masalah jerebu rentas sempadan akibat aktiviti pembakaran terbuka," katanya.

-- BERNAMA

#lapangan terbang #Don Mueang #Thailand #bantuan antarabangsa #mangsa gempa #Myanmar