Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Thailand tegaskan kesediaan bekerjasama dengan Kemboja demi keamanan sempadan

Bernama 16/08/2025 | 14:45 MYT
Thailand berikrar untuk meningkatkan kerjasama dengan Kemboja melalui Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC). - Foto hiasan
BANGKOK: Thailand berikrar untuk meningkatkan kerjasama dengan Kemboja melalui Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC), sekali gus menegaskan komitmennya memelihara keamanan dan kestabilan di sepanjang sempadan bersama.


Ringkasan AI
  • Thailand berikrar meningkatkan kerjasama dengan Kemboja melalui RBC dan GBC bagi memelihara keamanan serta kestabilan di sempadan.
  • Timbalan Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Parach Rattanachiayaphan, menegaskan komitmen menyelesaikan isu secara aman mengikut undang-undang antarabangsa.
  • Perbincangan turut menyentuh pembersihan periuk api dan membanteras penipuan dalam talian, dengan harapan Kemboja akan memberi kerjasama pada mesyuarat akan datang.


Timbalan Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Parach Rattanachiayaphan, berkata Thailand kekal komited menyelesaikan ketegangan dengan Kemboja melalui dialog aman dengan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa.

"Tentera Laut Diraja Thailand menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Kemboja di bawah kerangka RBC dan GBC, dengan matlamat bersama memperkukuh keamanan, kestabilan dan kerjasama di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat RBC Thailand-Kemboja di wilayah Trat pada Sabtu.

Komander Pertahanan Sempadan Chanthaburi dan Trat, Laksamana Madya Apichat Sapprasert, mengetuai delegasi Thailand, manakala Kemboja diketuai Komander Wilayah Ketenteraan Ketiga, Mejar Jeneral Ouy Heang.

Parach berkata perbincangan itu menekankan komitmen Thailand untuk menyelesaikan isu secara aman mengikut prinsip antarabangsa, di samping mengemukakan cadangan mengenai pembersihan periuk api serta usaha membanteras penipuan dalam talian.

"Walaupun pihak Kemboja belum memberikan maklum balas konkrit terhadap cadangan ini, Thailand tetap berharap Kemboja akan menunjukkan keprihatinan dalam mesyuarat akan datang, khususnya dalam menyokong operasi pembersihan periuk api di sempadan dan mengambil tindakan bersama membanteras kegiatan penipuan," katanya.

Dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak turut menandatangani Minit Mesyuarat Luar Biasa RBC antara Komando Pertahanan Sempadan Chanthaburi dan Trat Thailand dengan Wilayah Ketenteraan 3 Kemboja.

Thailand dan Kemboja juga berikrar untuk melaksanakan hasil Mesyuarat Luar Biasa GBC yang diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos, katanya.

-- BERNAMA

#Thailand #Kemboja #kerjasama #keamanan sempadan