BANGKOK: Thailand meningkatkan operasi keselamatan di tiga wilayah sempadan selatannya – Narathiwat, Pattani dan Yala – susulan siri serangan arson pada hujung minggu, dengan pihak berkuasa mempergiat usaha mengesan pelaku insiden berkenaan.
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Chatchai Bangchuad berkata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul telah mengarahkan agensi keselamatan untuk menilai situasi semasa, manakala Markas Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 menempatkan anggota bagi mengawal kawasan yang terjejas.
"Matlamat utama adalah untuk menjamin keselamatan serta meminimumkan kesan terhadap penduduk tempatan, kedai-kedai dan Pertubuhan Pentadbiran Tempatan (LAO)," katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan pada Isnin.
Pada petang Sabtu, siri serangan pembakaran dilaporkan berlaku di seluruh Narathiwat, Pattani dan Yala yang menyasar bangunan kerajaan, kedai serbaneka, kedai, kenderaan dan tiang utiliti. Insiden berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera di Narathiwat.
Pihak berkuasa memaklumkan lebih 50 insiden telah dilaporkan di ketiga-tiga wilayah itu sepanjang hujung minggu.
Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam Sabtu hingga 6 pagi Ahad susulan puluhan insiden terancang di seluruh wilayah berkenaan.
Serangan dan insiden pembakaran susulan dilaporkan pada Ahad, termasuk di pejabat perbandaran Pho Ming di Panare, Pattani, di mana beberapa kenderaan yang diletakkan di situ dibakar. Tiada kecederaan dilaporkan.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.
Sementara itu, Chatchai berkata insiden terbaharu itu dipercayai sebagai tindak balas simbolik terhadap kerajaan susulan operasi keselamatan yang diperketat selepas lima anggota renjer terbunuh di Narathiwat bulan lepas.
Beliau memberi amaran supaya tidak mengaitkan kesemua insiden itu dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN), sambil menyatakan keganasan berkenaan berkemungkinan melibatkan aktiviti jenayah tempatan dan rangkaian haram.
Dalam pada itu, Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi keselamatan berkaitan pada Isnin bagi menilai situasi, terutamanya pengumpulan maklumat risikan dan amaran awal susulan kritikan mengenai kekurangan kesiapsiagaan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Chatchai, Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow dan Pengarah Agensi Risikan Negara Thanat Suwananon.
-- BERNAMA