DUNIA

Thailand-Kemboja: Trump akan hubungi kedua-dua pemimpin hari ini

Astro Awani 11/12/2025 | 00:20 MYT
Trump yakin beliau mampu memainkan peranan dalam meredakan ketegangan dan menghalang pertempuran lanjut antara kedua-dua pihak. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan panggilan telefon pada Khamis dengan kepimpinan Thailand dan Kemboja, susulan konflik bersenjata yang semakin memuncak antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu.


Ringkasan AI
  • Presiden AS Donald Trump akan mengadakan panggilan telefon dengan kepimpinan Thailand dan Kemboja bagi meredakan ketegangan susulan konflik bersenjata di antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara.
  • Ketegangan bermula pada 8 Disember apabila tentera Thailand menyerang Kemboja, disebabkan pertelingkahan mengenai siapa yang memulakan serangan, menyebabkan kecederaan dan kerosakan di kawasan sempadan.
  • Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyeru kedua-dua pihak menggunakan saluran diplomatik untuk mengelakkan konflik merebak, selepas insiden yang berlaku kurang dari dua bulan selepas Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani.


Trump menyatakan keyakinan bahawa beliau mampu memainkan peranan dalam meredakan ketegangan dan menghalang pertempuran lanjut antara kedua-dua pihak.

“Saya percaya kita boleh hentikan pertempuran ini,” kata Trump dalam satu kenyataan ringkas di Rumah Putih pada Rabu.

Ketegangan tercetus pada 8 Disember apabila tentera Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan di Kemboja, selepas mendakwa pasukan Kemboja terlebih dahulu menyerang mereka, mengorbankan seorang anggota tentera Thai dan mencederakan beberapa yang lain.

Kemboja bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menuduh Thailand sebagai pihak yang memulakan serangan.

Phnom Penh turut mendakwa bahawa serangan udara tersebut telah mengorbankan beberapa orang awam serta merosakkan kawasan perkampungan dan kuil berhampiran sempadan.

Insiden ini berlaku kurang dua bulan selepas kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang disaksikan oleh pemimpin antarabangsa, termasuk Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa semua pihak perlu segera menggunakan saluran diplomatik dan mekanisme sedia ada bagi mengelakkan konflik daripada terus merebak dan menjejaskan kestabilan serantau.






#Donald Trump #konflik Thailand-Kemboja #ketegangan #panggilan telefon