SINGAPURA: Kiraan sampel oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Jumaat setakat ini menunjukkan Tharman Shanmugaratnam mendahului dalam pemilihan presiden kesembilan Singapura.

Setakat pukul 10.45 malam tadi, bekas menteri kanan itu mendapat 70 peratus undi, manakala bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd, Ng Kok Song (16 peratus) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd, Tan Kin Lian (14 peratus).

"Memandangkan ini adalah kiraan sampel, keputusan pilihan raya mungkin berbeza. Pengiraan masih dijalankan. Rakyat perlu menunggu pengumuman keputusan pilihan raya oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tan Meng Dui yang akan disiarkan secara 'secara langsung' di televisyen," kata ELD dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pengiraan sampel dilakukan pada permulaan proses pengiraan yang menyaksikan himpunan 100 kertas undi secara rawak dari setiap pusat mengundi dikira untuk mendapatkan petunjuk awal keputusan pilihan raya.

Terdapat 215 pusat pengiraan undi di seluruh Singapura.

Negarawan dan ahli ekonomi Singapura, Tharman, 66, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura antara 2011 dan 2019 dan sebagai Menteri Kanan dalam Kabinet antara 2019 dan 2023.

Jawatan lain yang disandang beliau, termasuk Pengerusi Monetary Authority of Singapore antara 2011 dan 2023 dan Timbalan Pengerusi GIC antara 2019 dan 2023.

Selaku bekas ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir Singapura, beliau merupakan Ahli Parlimen (MP) yang mewakili kawasan Taman Jurong di Jurong GRC antara 2001 dan 2023.

Beliau membuat debut dalam arena politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2001 dan dipilih semula ke Parlimen sebanyak empat kali pada PRU berikutnya pada 2006, 2011, 2015 dan 2020.

Tharman berundur dari Parlimen pada Julai 2023 dan melepaskan semua jawatan dalam kerajaan, termasuk sebagai ahli PAP untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya presiden.

Sehingga pukul 5 petang, seramai 2,302,996 rakyat Singapura telah mengundi di 1,264 pusat mengundi di seluruh negara.

Ini merangkumi kira-kira 85 peratus daripada jumlah pemilih yang layak, kata ELD. - BERNAMA