BOGOTA (COLOMBIA): Pilihan raya presiden Colombia akan dilanjutkan ke pusingan kedua (runoff) selepas tiada calon memperoleh majoriti dalam pusingan pertama pengundian, menurut keputusan awal yang dikeluarkan pihak berkuasa pilihan raya pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Berdasarkan 96 peratus undi yang telah dikira, Pejabat Pendaftaran Awam Negara melaporkan Abelardo de la Espriella, sebagai calon presiden untuk Pergerakan Penyelamat Nasional konservatif, mendahului dengan 43.62 peratus undian.
Ivan Cepeda, seorang senator yang bertanding di bawah gabungan pemerintah Pacto Histórico, menduduki tempat kedua dengan 41.13 peratus.
Paloma Valencia, calon parti Centro Democrático yang diasaskan oleh bekas Presiden Álvaro Uribe, menduduki tempat ketiga dengan 6.86 peratus undian.
Bekas Gabenor Antioquia Sergio Fajardo menerima 4.2 peratus manakala Raul Santiago Botero dari pergerakan “Destroy the System” memperoleh 0.95 peratus.
Susulan tiada calon melepasi ambang 50 peratus yang diperlukan untuk menang secara langsung, de la Espriella dan Cepeda akan mara ke pemilihan pusingan kedua yang dijadualkan pada 21 Jun untuk menentukan presiden Colombia seterusnya.
-- BERNAMA-ANADOLU