Tiada petunjuk untuk mengenalpasti sebab pembantu juruterbang Germanwings sengaja menghempaskan pesawat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lufthansa, Carsten Spohr berkata, beliau terkejut bahawa Andreas Lubitz, 28, nampaknya sengaja menghempaskan pesawat Airbus A320 di Pergunungan Alps, lapor AFP.

Kesemua 150 penumpang terkorban dalam nahas pada Selasa.

"Kami tidak menyangka tragedi sebegini berlaku ke atas syarikat ini," kata Spohr ketika sidang media selepas pegawai Perancis memberi maklumat berdasarkan rakaman di kokpit yang tidak memberi indikasi kepada tindakan pembantu juruterbang tersebut.

Menurut Spohr, pekerja di kokpit dipilih sebaik mungkin dan tahap kesesuaian psikologi mereka turut diberi perhatian.

BACA: Juruterbang perlu kerap jalani pemeriksaan fizikal, mental: ICAO

Lubitz memulakan latihannya pada 2008 dan enam tahun lepas, dia berehat sebentar semasa program tersebut sebelum menyambung kembali.


Lubitz
Gambar yang kini sedang diedarkan di internet kononnya menunjukkan Andreas Lubitz bergambar di hadapan Golden Gate Bridge di California, Amerika Syarikat. - Foto AFP


Jurucakap Lufthansa berkata Lubitz telah merekodkan 630 jam penerbangan dan telah lulus ujian kesihatan, penerbangan dan ujian serta saringan lain.

"Dia layak untuk terbang, tiada keraguan mengenai itu," kata Spohr.

Tambah beliau, tiada sistem keselamatan dalam dunia yang boleh melindungi syarikat penerbangan ini daripada malapetaka.

"Apa-apapun peruntukkan keselamatan dalam syarikat, walaupun setinggi mana tahapnya, kebarangkalian kes-kes sebegini berlaku tidak boleh dinafikan."