DUNIA
Tiada rancangan liberalisasi perkhidmatan e-hailing rentas sempadan Singapura-Malaysia - LTA

LTA tidak mempunyai perancangan untuk meliberalkan sepenuhnya pengangkutan titik ke titik rentas sempadan menerusi perkhidmatan e-hailing. - Gambar hiasan/REUTERS
SINGAPURA: Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meliberalkan sepenuhnya pengangkutan titik ke titik rentas sempadan Singapura-Malaysia menerusi perkhidmatan e-hailing.
Agensi itu berkata pegawai dari Singapura dan Malaysia telah mengadakan pertemuan pada 1 Ogos bagi membincangkan pengaturan perkhidmatan rentas sempadan, namun tiada keputusan dibuat mengenai isu membenarkan perkhidmatan e-hailing rentas sempadan bagi membawa penumpang.
"Kami mengambil maklum laporan media Malaysia baru-baru ini yang menyatakan Singapura bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing rentas sempadan atas permintaan.
"Walaupun kami terbuka kepada idea untuk menambah baik pengalaman perjalanan rentas sempadan, kami ingin menjelaskan bahawa LTA tidak mempunyai perancangan untuk meliberalkan sepenuhnya pengangkutan titik ke titik rentas sempadan menerusi perkhidmatan e-hailing," menurut LTA dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
LTA menjelaskan bahawa pada masa ini terdapat Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS) timbal balik sedia ada yang membenarkan sehingga 200 teksi berlesen dari setiap negara membawa penumpang antara Singapura dan Johor Bahru.
Teksi rentas sempadan ini hanya dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di satu lokasi yang ditetapkan di negara jiran - Larkin Sentral di Johor Bahru bagi teksi Singapura dan Terminal Jalan Ban San di Singapura bagi teksi Malaysia.
"Kami juga sedang mempertimbangkan untuk menambah bilangan lokasi mengambil dan menurunkan penumpang di kedua-dua negara, serta menggunakan aplikasi e-hailing bagi menempah perjalanan rentas sempadan dengan teksi berlesen," menurut agensi itu, sambil memaklumkan bahawa kuota sedia ada di bawah CBTS masih belum digunakan sepenuhnya.
LTA menegaskan bahawa memandangkan CBTS merupakan satu pengaturan timbal balik, sebarang perubahan memerlukan persetujuan kedua-dua kerajaan.
Sementara itu, LTA berkata semasa mesyuarat berkenaan, pihak berkuasa Malaysia turut memohon agar perkhidmatan bas rentas sempadan Singapura dibenarkan beroperasi dari Johor Bahru seawal 4 pagi.
Agensi itu berkata permintaan berkenaan sedang diteliti, dengan pertimbangan utama bahawa ketibaan bas pertama perlu selari dengan waktu permulaan perkhidmatan bas dan MRT tempatan di Singapura.
LTA juga sedang berbincang dengan pengendali bas rentas sempadan mengenai kemungkinan untuk mengawalkan sedikit waktu mula perkhidmatan bas, serta meninjau minat pengendali bas swasta untuk mengendalikan perkhidmatan lebih awal pada kadar tambang yang lebih tinggi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami