DUNIA

Tiada rundingan damai setakat ini, Sudan nafi dakwaan Amerika Syarikat

Pia Ernadya 05/11/2025 | 07:00 MYT
Konflik di Sudan telah meragut ribuan nyawa dan memaksa berjuta-juta penduduk menjadi pelarian. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Sudan menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pelan gencatan senjata kemanusiaan.


Ringkasan AI
  • Sudan menafikan dakwaan Amerika Syarikat tentang persetujuan gencatan senjata antara tentera Sudan dan pasukan RSF, tetapi menyatakan keterbukaan terhadap inisiatif untuk mengakhiri peperangan di negara tersebut.
  • Pengalaman lalu dalam rundingan gencatan senjata dengan RSF menyebabkan kekurangan kepercayaan rakyat terhadap mereka, kerana RSF sebelum ini melanggar perjanjian gencatan senjata.
  • Sudan menegaskan komitmen mereka terhadap penyelesaian damai yang menghormati aspirasi rakyat, wilayah negara, kedaulatan, serta transformasi demokrasi, serta menginginkan tentera kebangsaan di bawah satu arahan yang jelas.


Menurut Duta Besar Sudan ke Malaysia, Hassan Abdelsalam Omer, tiada persetujuan baharu dicapai setakat ini, namun pihaknya kekal terbuka terhadap sebarang inisiatif yang mampu menoktahkan perang berdarah di negara tersebut.

“Kami belum mencapai apa-apa persetujuan setakat ini. Saya juga belum menerima sebarang pengesahan berkaitan perkara itu.

“Namun seperti yang selalu kami tekankan, Sudan sentiasa terbuka kepada mana-mana inisiatif atau fasilitasi yang boleh menamatkan perang buruk ini dan membolehkan rakyat kami pulang ke rumah,” katanya dalam sidang media di Kedutaan Sudan di ibu negara, pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pengalaman dalam rundingan gencatan senjata dengan RSF sebelum ini, menyebabkan rakyat sukar mempercayai mereka.

“Dahulu, Sudan bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata menerusi Deklarasi Jeddah, tetapi RSF melanggar perjanjian itu berkali-kali.

“Sebab itu kini wujud kefahaman dan keyakinan meluas dalam kalangan rakyat Sudan bahawa RSF tidak boleh dipercayai,” jelasnya.

Begitupun, Hassan menegaskan sekali lagi bahawa Sudan tetap komited menyokong sebarang resolusi atau inisiatif damai yang memenuhi aspirasi rakyat.

“Pendirian kami jelas. Kami menyokong apa jua penyelesaian damai yang menghormati aspirasi rakyat Sudan, keutuhan wilayah, kedaulatan negara serta keinginan kami untuk meneruskan transformasi demokrasi. Dan kami mahukan satu angkatan tentera kebangsaan di bawah satu arahan,” katanya.

Terdahulu, AS mengeluarkan kenyataan bahawa tentera Sudan dan RSF telah bersetuju secara prinsip terhadap satu pelan awal bagi mencapai gencatan senjata kemanusiaan.

Penasihat Kanan AS bagi Hal Ehwal Arab dan Afrika, Massad Boulos, berkata usaha sedang giat dijalankan untuk memuktamadkan persetujuan tersebut.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju secara prinsip dan setakat ini kami tidak menerima sebarang bantahan awal daripada mana-mana pihak. Fokus kami kini adalah memperincikan butiran lanjut,” katanya pada Isnin seperti dipetik Sudan Tribune.

Menurut Boulos, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada kerangka yang dipersetujui Kuartet Antarabangsa di Washington pada September, dengan matlamat mencapai gencatan sepenuhnya serta pelan pasca-gencatan di Sudan.

Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa. Konflik itu telah meragut ribuan nyawa dan memaksa berjuta-juta penduduk berpindah.

Pada 26 Oktober lalu, RSF menawan El-Fasher dan didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam.


#konflik Sudan #gencatan senjata #duta sudan di Malaysia #Amerika Syarikat