TEL AVIV: Seorang pegawai kanan Israel memberitahu CNN, tidak akan ada "gencatan senjata" di Gaza dalam usaha Amerika Syarikat (AS) dan Qatar untuk membebaskan lebih daripada 200 tawanan oleh Hamas.

Pegawai tersebut yang "tidak sedar" dengan gesaan AS meminta serangan darat di Gaza ditangguhkan menegaskan, kedua-dua negara iaitu Israel dan AS ingin semua tawanan dibebaskan "secepat mungkin," kata mereka kepada Matthew Chance dari CNN.

Bagaimanapun, dalam masa sama, pegawai tersebut berkata, "usaha kemanusiaan tidak boleh memberi kesan kepada misi memusnahkan Hamas."

Israel telah bersetuju dengan permintaan AS untuk membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, walaupun tindakan itu tidak popular di Israel, kata pegawai berkenaan.

Pada Ahad, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden sedang berbincang dengan kerajaan Israel secara berkala mengenai situasi di Gaza.

"Kami berdua ingin memastikan bahawa ramai tawanan dapat pulang… disebakan itu kami sedang berusaha ke arah itu (pembebasan tawanan), seperti yang saya katakan, hampir setiap minit sepanjang hari," kata Blinken. - Agensi