DUNIA
AS tidak akan berdiam diri terhadap pendakwaan berterusan ke atas Netanyahu - Trump
Presiden Trump (kanan) menerima kunjungan Perdana Menteri Netanyahu di White House, Washington pada 4 Februari lalu. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, Washington tidak akan berdiam diri terhadap pendakwaan berterusan ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung tuduhan rasuah.
“Amerika Syarikat membelanjakan berbilion dolar setiap tahun – jauh lebih banyak berbanding mana-mana negara lain – bagi melindungi dan menyokong Israel. Kami tidak akan berdiam diri,” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social pada Sabtu.
Kenyataan itu dibuat beliau sehari selepas mahkamah Israel menolak permintaan Netanyahu untuk menangguhkan sesi keterangannya dalam perbicaraan, dengan alasan permohonan yang dikemukakan tidak mempunyai justifikasi yang kukuh.
Netanyahu berdepan beberapa kes melibatkan dakwaan menerima barangan mewah bernilai lebih AS$260,000 seperti cerut, barang kemas dan champagne daripada tokoh-tokoh kaya sebagai balasan kepada layanan politik.
Dalam dua kes lain, Netanyahu didakwa berusaha mendapatkan liputan media yang lebih menguntungkan daripada dua organisasi berita utama di Israel.
Netanyahu menafikan sebarang salah laku dan sebelum ini merakamkan penghargaan kepada Trump atas sokongan semasa konflik Israel-Iran yang menyaksikan satu gencatan senjata dimeterai awal minggu ini.
Peguam Netanyahu turut memohon agar beliau dikecualikan daripada menghadiri prosiding selama dua minggu atas alasan perlu memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara.
Trump sebelum ini menyifatkan kes tersebut sebagai satu “buruan sihir” dan sekali lagi pada Sabtu mempertahankan pemimpin Israel itu dengan menyebut Netanyahu sebagai “wira perang.”
“Ketidakadilan ini akan mengganggu proses rundingan dengan Iran dan Hamas,” kata Trump, meskipun tidak memperincikan bentuk rundingan yang dimaksudkan berkaitan Iran.
Untuk rekod, Hamas menawan 251 tebusan dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Seramai 49 masih dipercayai ditahan di Gaza, termasuk 27 yang disahkan terbunuh oleh tentera Israel.
Rundingan masih diteruskan bagi membebaskan baki tebusan serta membawa pulang mayat mereka yang terbunuh, ketika perang Israel di Gaza berterusan.
Trump turut menyamakan perbicaraan yang dihadapi Netanyahu dengan kes yang menimpanya sebelum memegang jawatan Presiden buat kali kedua.
“Ia adalah satu BURUAN SIHIR POLITIK, sangat mirip dengan apa yang saya alami sendiri,” kata Trump.
Presiden AS itu sebelum ini didapati bersalah atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan dalam kes bayaran tutup mulut kepada seorang bintang lucah, Mei lalu.
Trump juga berdepan dua lagi kes Persekutuan termasuk yang berkait dengan cubaan menafikan keputusan Pilihan Raya Presiden 2020 yang dimenangi calon Demokrat, Joe Biden. - Agensi