Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

Tiga Ahli Parlimen Turkiye yang diculik Israel dalam kapal Conscience kini dibebaskan

Hilal Azmi 09/10/2025 | 22:25 MYT
Ketiga-tiga mereka dilaporkan tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Turkiye pada jam 11:10 malam waktu tempatan. - Foto Instagram/İHH
ISTANBUL: Tiga ahli Parlimen Turkiye yang menyertai pelayaran kapal Conscience anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) akhirnya dibebaskan selepas diculik oleh tentera Israel.


Ringkasan AI
  • Tiga wakil rakyat Turkiye yang menyertai pelayaran kapal Conscience anjuran Freedom Flotilla Coalition dibebaskan selepas ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.
  • Mereka dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan dipindahkan ke Penjara Ketziot, dengan akses terhad kepada wakil rasmi Turkiye dan pemantauan ketat semasa pertemuan dengan peguam.
  • Insiden tersebut mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap Israel atas pelanggaran hak asasi manusia, sementara Freedom Flotilla Coalition menuntut pembebasan segera semua aktivis yang masih ditahan.


Mereka terdiri daripada dua ahli Parlimen Parti Saadet, Necmettin Çalışkan dan Mehmet Atmaca, serta seorang ahli Parlimen Parti Masa Depan (Future Party), Sema Silkin Ün.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Turkiye pada jam 11:10 malam waktu tempatan, disambut oleh ahli keluarga, rakan seperjuangan dan penyokong parti dengan penuh rasa syukur.

Sebelum pembebasan, mereka dilaporkan ditahan oleh tentera Israel kemudian dibawa ke Pelabuhan Ashdod, sejurus selepas kapal Conscience dipintas di perairan antarabangsa.

Menurut maklumat rasmi daripada Parti Saadet, ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut tidak dibenarkan berhubung secara bersemuka dengan pihak berkuasa rasmi Turkiye di pelabuhan tersebut.

Mereka dan aktivis lain kemudiannya dipindahkan ke Penjara Ketziot yang terletak di selatan Israel.

Peluang untuk bertemu dengan mereka hanya diberikan pada keesokan paginya, di bawah pemantauan ketat pihak berkuasa Israel.

Proses tersebut difahamkan diikuti dengan teliti oleh pasukan peguam Turkiye yang mewakili ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut.

Insiden penculikan wakil rakyat Turkiye itu mencetuskan gelombang kecaman antarabangsa serta masyarakat sivil Turkiye, khususnya terhadap tindakan Israel yang disifatkan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

Pihak Freedom Flotilla Coalition sebelum ini menegaskan bahawa tindakan Israel ke atas kapal misi kemanusiaan itu adalah tidak sah dan menuntut supaya semua aktivis yang masih ditahan segera dibebaskan tanpa syarat.






#Ahli Parlimen Turkiye #Freedom Flotilla #Israel #misi kemanusiaan