NEW DELHI: Dua bandar raya India menyertai New Delhi untuk menjadi antara 10 lokasi paling tercemar di dunia.

Menurut data kualiti udara IQAir yang berpangkalan di Switzerland, ibu kota New Delhi berada di tempat teratas dengan indeks kualiti udara (AQI) berada pada tahap 420 yang meletakkannya dalam kategori ‘berbahaya’.

Turut menyertai senarai 10 teratas adalah Kolkata di timur India yang menduduki tempat keempat dengan AQI 196.

Manakala ibu kota kewangan Mumbai berada di tempat kelapan dengan AQI 163.

Tahap AQI 400 hingga 500 memberi kesan kepada orang yang sihat dan berbahaya kepada mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.

Tahap 150 hingga 200 pula membawa ketidakselesaan kepada penghidap asma, paru-paru dan masalah jantung sementara tahap di bawah 50 dianggap baik.

Lapisan asap tebal mula beredar di New Delhi sejak Ahad menyebabkan tahap AQI meningkat kepada 680 menjelang tengah malam.

Setiap tahun pihak berkuasa mengenakan larangan ke atas mercun di ibu negara, tetapi jarang sekali larangan tersebut dikuatkuasakan.

Kualiti udara di India merosot setiap tahun menjelang musim sejuk, apabila udara dingin memerangkap bahan pencemaran daripada kenderaan, industri, habuk pembinaan dan pembakaran sisa pertanian.

Pihak berkuasa New Delhi menangguhkan keputusan awal untuk mengehadkan penggunaan kenderaan selepas hujan singkat pada hari Jumaat membawa sedikit kelegaan daripada pendedahan selama seminggu kepada udara toksik.

Kerajaan tempatan bercadang untuk mengkaji semula keputusan itu selepas sambutan perayaan Deepavali.