ROM: Sekurang-kurangnya tiga penumpang dilaporkan terkorban selepas sebuah bot yang membawa lebih 20 penumpang, termasuk pelancong, karam dalam kejadian angin kencang di Tasik Maggiore di utara Itali.

Memetik laporan BBC, dalam kejadian yang berlaku di sebuah lokasi di antara bandar Sesto Calende dan Arona pada Ahad, seorang lagi penumpang dilaporkan masih belum ditemui.

Dalam pada itu, perkhidmatan bomba Itali memaklumkan 19 penumpang disahkan selamat namun usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih diteruskan.

Tambah laporan itu, lima orang telah dibawa ke hospital selepas diselamatkan.

Media tempatan melaporkan kalangan penumpang bot malang itu merupakan warga British, Itali dan Israel.

Presiden Wilayah Lombardi Attilio Fontana memberitahu insiden berlaku disebabkan cuaca buruk.

Difahamkan, bot itu membawa lebih kurang 25 orang yang sedang meraikan hari jadi ketika ribut melanda di kawasan tasik sehingga menyebabkan bot itu terbalik dan tenggelam.

Tasik Maggiore yang terletak di selatan Alpen merupakan destinasi popular untuk pelancong.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Itali telah mengeluarkan amaran ribut petir sehari sebelum kejadian.