OREGON: Tiga kanak-kanak dan seorang dewasa dilaporkan maut dalam insiden tembakan di sebuah sekolah rendah di Bend, Oregon, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Seorang individu bersenjata melepaskan tembakan di Sekolah Rendah Silver Rail, mencederakan beberapa mangsa termasuk kanak-kanak, sebelum suspek ditemui mati ditembak, dipercayai oleh seorang individu bersenjata yang berada di lokasi.
CNN dan CBS News yang memetik sumber penguatkuasaan undang-undang melaporkan, tiga kanak-kanak serta seorang dewasa terbunuh dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada suspek termasuk dalam jumlah kematian berkenaan.
CBS News kemudian melaporkan bahawa suspek berusia 16 tahun.
Polis di Bend, sebuah bandar dengan kira-kira 100,000 penduduk di tengah Oregon dan terletak kira-kira 280 kilometer tenggara Portland berkata, mereka menerima panggilan pertama berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 1 tengah hari.
Menurut polis, laporan awal memaklumkan seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di Sekolah Rendah Silver Rail.
Anggota polis yang tiba beberapa saat kemudian menemui suspek sudah mati akibat ditembak.
Polis berkata, terdapat kemungkinan suspek ditembak oleh orang awam yang berada di lokasi, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Jurucakap Jabatan Polis Bend, Sheila Miller berkata, penyiasat masih belum mengesahkan identiti individu yang menembak suspek.
Beliau turut memaklumkan sekurang-kurangnya dua mangsa dibawa ke hospital, namun keadaan mereka belum diketahui.
Dalam kenyataan susulan yang dimuat naik dalam talian, polis mengesahkan terdapat beberapa mangsa dalam kejadian itu dan kanak-kanak adalah antara yang terlibat.
Sekolah Rendah Silver Rail menempatkan murid dari peringkat tadika hingga gred lima, iaitu sekitar usia lima hingga 11 tahun.
Sekolah yang terletak di Bend berhampiran Hutan Negara Deschutes itu mempunyai kira-kira 450 murid dan 40 kakitangan.
Wakil AS, Maxine Dexter yang mewakili sebahagian kawasan Portland menyifatkan insiden berkenaan sebagai “hari yang amat menyedihkan buat Oregon.”
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk belajar, membina persahabatan dan kegembiraan. Menjadi tanggungjawab saya dan setiap penggubal undang-undang untuk melakukan segala yang termampu bagi memastikan anak-anak kita selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Gabenor Oregon, Tina Kotek pula menyeru penduduk supaya bersatu dan saling memberikan sokongan ketika maklumat lanjut mengenai tragedi berkenaan diperoleh.
“Tiada komuniti yang sepatutnya terpaksa melalui hari seperti ini,” katanya menerusi platform X.
Sementara itu, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel berkata, ejen persekutuan telah berada di lokasi bagi membantu pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan.
Beliau berkata, FBI akan menyediakan segala sumber yang diperlukan untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut. - Agensi