DUNIA

Tiga maut, puluhan perkampungan di Romania dilanda banjir kilat

Agensi 29/07/2025 | 00:40 MYT
Sekurang-kurangnya tiga maut manakala puluhan kampung di timur Romania mengalami kemusnahan teruk akibat banjir kilat pada Isnin, susulan hujan lebat dan angin kencang. - Gambar Reuters
SUCEAVA COUNTY: Sekurang-kurangnya tiga maut manakala puluhan kampung di timur Romania mengalami kemusnahan teruk akibat banjir kilat pada Isnin, susulan hujan lebat dan angin kencang.

Menurut agensi tindak balas kecemasan Romania, sebanyak 25 buah kampung di sembilan buah daerah terjejas akibat bencana tersebut.

Dalam pada itu, daerah Neamt dan Suceava dilaporkan paling teruk terjejas apabila dua batang sungai melimpah, menyebabkan seorang lelaki berusia 66 tahun maut dan ratusan penduduk terpaksa dipindahkan manakala akses ke kampung Brosteni di daerah Suceava dilaporkan terputus.

Dua lagi mangsa wanita berusia 85 dan 83 tahun turut terkorban dalam kejadian yang mana pasukan bomba terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengeluarkan salah satu mayat dari dasar sungai.

Sementara itu, agensi pengurusan air di bawah Kementerian Alam Sekitar memaklumkan, paras air beberapa sungai telah mencatatkan rekod tertinggi dan kerja pembaikan jambatan yang runtuh sedang giat dijalankan.





#banjir kilat #Romania #Suceava #maut