DUNIA
Tiga pegawai polis maut, dua parah dalam insiden tembakan di Pennsylvania

Pegawai polis yang cedera diterbangkan menggunakan helikopter perubatan untuk rawatan kecemasan. - Gambar Reuters
PENNSYLVANIA: Tiga pegawai polis dilaporkan maut manakala dua lagi cedera parah selepas terlibat dalam insiden tembakan ketika menjalankan siasatan berkaitan kes domestik di York County, Pennsylvania.
Pesuruhjaya Polis Negeri Pennsylvania, Kolonel Christopher Paris memaklumkan, suspek turut maut selepas terkena tembakan balas pihak polis.
Kejadian berlaku sekitar jam 2 petang waktu tempatan, menyaksikan seorang pegawai diterbangkan menggunakan helikopter perubatan untuk rawatan kecemasan.
Insiden itu turut memaksa sebuah sekolah di daerah Spring Grove – sebuah pekan kecil dengan kira-kira 2,500 penduduk – mengaktifkan arahan perlindungan sementara, namun pihak berkuasa mengesahkan sekolah berkenaan tidak terjejas dan tiada ancaman lanjut terhadap orang awam.Menurut pihak berkuasa, anggota polis terbabit berada di lokasi sejak sehari sebelumnya bagi menjalankan siasatan. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai kes masih belum didedahkan kerana siasatan sedang berjalan.
Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro yang tiba di lokasi pada Rabu, berjumpa dengan keluarga mangsa dan menyatakan rasa dukacita atas kehilangan tersebut.
“Kita berkabung atas kehilangan tiga jiwa yang telah berkhidmat kepada daerah ini, negeri ini, dan negara ini. Keganasan seperti ini tidak boleh diterima, dan kita sebagai masyarakat perlu berbuat lebih baik,” katanya.
Sebagai penghormatan, Shapiro turut mengarahkan semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang di bangunan awam seluruh Pennsylvania.
Sementara itu, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan negeri dan tempatan dalam siasatan, sambil merakamkan doa buat keluarga mangsa serta komuniti York County. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami