[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
DUNIA

Tiga pekerja syarikat minyak Israel terbunuh dalam serangan Iran

Astro Awani 16/06/2025 | 23:20 MYT
Asap tebal kelihatan membumbung dari sebuah fasiliti yang terjejas selepas serangan peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel, di Haifa. - Foto REUTERS
HAIFA: Tiga pekerja syarikat minyak milik Israel, Bazan Group, terkorban dalam satu serangan peluru berpandu oleh Iran awal pagi Isnin, menurut pemfailan rasmi syarikat itu kepada Bursa Saham Tel Aviv.

Ringkasan AI
  • Tiga pekerja Bazan Group terbunuh dalam serangan peluru berpandu oleh Iran di Haifa, awal pagi Isnin.
  • Loji kuasa syarikat rosak teruk, menyebabkan semua operasi penapisan dan anak syarikat dihentikan buat sementara.
  • Beberapa letupan dilaporkan di Haifa, memusnahkan bangunan dan mencetuskan kebakaran pada infrastruktur.

Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi satu kenyataan di media sosial.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pekerja Bazan atas usaha berterusan mereka, sambil berkongsi video pertemuan bersama beberapa Ketua Pegawai Eksekutif termasuk Ketua Eksekutif Bazan Group, Asaf Almagor.
“Kami sedang berusaha menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi memastikan keperluan tenaga negara terus dipenuhi tanpa gangguan, seperti yang telah berjaya dilakukan setakat ini,” kata Cohen.
Bazan Group yang berpangkalan di Haifa, dan dikenali sebagai salah satu entiti tenaga paling besar dan kompleks di Israel, turut mengesahkan bahawa loji kuasa yang membekalkan sebahagian stim dan elektrik ke fasiliti mereka telah mengalami kerosakan serius.
Ekoran itu, semua operasi penapisan dan anak syarikatnya dihentikan sepenuhnya buat sementara waktu.
Beberapa letupan turut dilaporkan di bandar pesisir Haifa, menyebabkan kemusnahan struktur bangunan dan kebakaran pada infrastruktur, selepas Israel memaklumkan bahawa Iran telah melancarkan satu lagi siri serangan peluru berpandu pada awal pagi tersebut.
#serangan #peluru berpandu #Israel #syarikat minyak