Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Tiga perempat anggota PBB sokong penubuhan negara Palestin

Agensi 11/08/2025 | 23:20 MYT
Tiga perempat daripada anggota PBB telah mengiktiraf atau merancang untuk mengiktiraf, negara Palestin – dengan Australia menjadi negara terbaharu mengumumkan janji itu pada Isnin, menjelang Perhimpunan Agung PBB September ini. - Gambar Reuters
PARIS: Tiga perempat daripada anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf atau merancang untuk mengiktiraf, negara Palestin – dengan Australia menjadi negara terbaharu mengumumkan janji itu pada Isnin, menjelang Perhimpunan Agung PBB September ini.

Perang Israel-Hamas yang berlarutan di Gaza sejak serangan kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober 2023 kembali menghangatkan desakan global supaya rakyat Palestin diberikan negara berdaulat sendiri.

Langkah ini menandakan perubahan daripada pandangan tradisi bahawa pengiktirafan hanya boleh berlaku melalui rundingan damai antara Palestin dan Israel.

Menurut kiraan AFP, sekurang-kurangnya 145 daripada 193 negara anggota PBB kini telah atau akan mengiktiraf negara Palestin, termasuk Perancis, Kanada dan Britain.

Perjalanan Palestin ke arah kenegaraan

Usaha Palestin membentuk negara sendiri bermula pada 15 November 1988 ketika Intifada Pertama menentang pendudukan Israel.

Pada tarikh itu, pemimpin Palestin, Yasser Arafat, mengisytiharkan penubuhan negara Palestin dengan Jerusalem sebagai ibu kota, ketika mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin di Algiers.

Algeria menjadi negara pertama mengiktiraf, diikuti puluhan negara lain dalam tempoh seminggu, termasuk kebanyakan negara Arab, India, Turkiye, hampir seluruh benua Afrika serta beberapa negara Eropah Tengah dan Timur.

Gelombang pengiktirafan kedua berlaku pada 2010 dan awal 2011 apabila negara-negara Amerika Selatan seperti Argentina, Brazil dan Chile menyatakan sokongan, susulan keputusan Israel menamatkan larangan sementara pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Pada 2011, ketika rundingan damai terhenti, Palestin menggerakkan usaha menjadi anggota penuh PBB, namun gagal.

Namun, pada 31 Oktober tahun sama, UNESCO menerima Palestin sebagai ahli penuh - tindakan yang mencetuskan bantahan Israel dan Amerika Syarikat.

November 2012 menyaksikan Perhimpunan Agung PBB menaik taraf status Palestin kepada "Negara Pemerhati Bukan Anggota", disusuli pengibaran bendera Palestin di ibu pejabat PBB di New York buat kali pertama.

Tiga tahun kemudian, Mahkamah Jenayah Antarabangsa turut menerima Palestin sebagai negara pihak.

Sokongan terus meningkat

Sejak serangan 7 Oktober 2023 dan operasi ketenteraan Israel di Gaza, sokongan terhadap kenegaraan Palestin semakin kukuh. Tahun 2024 menyaksikan empat negara Caribbean — Jamaica, Trinidad dan Tobago, Barbados, dan Bahamas — serta Armenia mengiktiraf Palestin.

Empat negara Eropah — Norway, Sepanyol, Ireland dan Slovenia — turut berbuat demikian, dengan tiga yang terakhir merupakan anggota Kesatuan Eropah (EU). Ini merupakan perkembangan pertama dalam EU sejak Sweden mengambil langkah sama pada 2014, yang ketika itu menegangkan hubungan dengan Israel.

Sebahagian negara EU seperti Poland, Bulgaria dan Romania sudah pun mengiktiraf Palestin sejak 1988, sebelum menyertai blok tersebut.

Namun, ada juga bekas negara blok Timur seperti Hungary dan Republik Czech yang tidak atau tidak lagi mengiktiraf Palestin.

Pengiktirafan baharu menjelang September

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada Isnin berkata, negaranya akan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri di Perhimpunan Agung PBB.

Perancis sebelum ini mengumumkan hasrat serupa pada September, sementara Britain berkata ia akan berbuat demikian kecuali Israel mengambil "langkah substantif", termasuk bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.

Kanada juga merancang mengiktiraf Palestin pada September, kata Perdana Menteri Mark Carney — langkah dasar yang disifatkan sebagai perubahan dramatik dan segera ditolak Israel.

Negara lain seperti Malta, Finland dan Portugal turut memberi isyarat kemungkinan mengikuti jejak sama. - Agensi




#negara Palestin #anggota PBB #iktiraf Palestin #Perhimpunan Agung PBB