DUNIA

TikTok bukan lagi dikawal China, kini sepenuhnya di bawah Amerika Syarikat - Donald Trump

Agensi 25/09/2025 | 23:30 MYT
TikTok dimiliki dan dikawal majoriti oleh entiti AS, manakala syarikat induknya di China, ByteDance serta syarikat berkaitan hanya dibenarkan memiliki kurang daripada 20 peratus kepentingan.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada Khamis - mengesahkan rancangan penjualan operasi TikTok di Amerika Syarikat (AS) kepada pelabur tempatan dan antarabangsa, sekali gus memenuhi keperluan keselamatan negara seperti termaktub dalam undang-undang 2024.

Syarikat baharu itu akan bernilai sekitar AS$14 bilion, menurut Naib Presiden JD Vance, pertama kali nilai aplikasi video pendek popular itu diumumkan secara rasmi.

Menurut perintah eksekutif berkenaan, TikTok akan dimiliki dan dikawal majoriti oleh entiti AS, manakala syarikat induknya di China, ByteDance serta syarikat berkaitan hanya dibenarkan memiliki kurang daripada 20 peratus kepentingan dalam usaha sama baharu itu.

Trump sebelum ini menangguhkan penguatkuasaan undang-undang yang mengharamkan aplikasi itu sekiranya tidak dijual kepada pihak AS sehingga 16 Disember.

Ia bagi memberi ruang kepada proses pengambilalihan aset TikTok di AS, mencari pelabur tempatan dan antarabangsa, serta mendapatkan kelulusan kerajaan China.

“Perjanjian ini termasuk pemantauan ketat terhadap kemas kini perisian, algoritma dan aliran data,” menurut teks perintah yang dikeluarkan White House.

Trump menjelaskan, beliau telah berbincang dengan Presiden China, Xi Jinping mengenai perkara itu.

“Saya beritahu Presiden Xi apa yang kami lakukan, dan beliau berkata teruskan,” kata Trump kepada pemberita.

TikTok, yang mempunyai 170 juta pengguna di AS, turut diiktiraf Trump sebagai antara faktor kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden tahun lalu.

Trump sendiri mempunyai lebih 15 juta pengikut di akaun peribadinya, selain White House yang melancarkan akaun rasmi bulan lalu.

“Mulai sekarang, ini akan dioperasikan sepenuhnya oleh pihak Amerika,” tegas Trump.

Antara tokoh korporat yang dikatakan terlibat dalam perjanjian itu ialah Michael Dell, Rupert Murdoch dan beberapa lagi pelabur bertaraf dunia.

Walau bagaimanapun, Ahli Kongres Republikan menegaskan mereka mahu melihat butiran lanjut perjanjian tersebut bagi memastikan pemisahan bersih daripada pengaruh China.

“Apabila butiran dimuktamadkan, kita mesti pastikan perjanjian ini benar-benar melindungi pengguna Amerika daripada pengaruh dan pengawasan kumpulan yang sejajar dengan Parti Komunis China,” kata wakil AS Brett Guthrie, Gus Bilirakis dan Richard Hudson dalam kenyataan bersama.


#TikTok' #TikTok milik Amerika #Donald Trump #ByteDance