PARIS: Peperangan di Ukraine secara langsung meletakkan TikTok sebagai sumber utama penyampaian maklumat salah, disebabkan jumlah pengguna yang besar dan saringan kandungan yang minimum, kata pakar.

Setiap hari, Shayan Sardarizadeh, wartawan dari pasukan pengsahan maklumat BBC, memeriksa pelbagai kandungan palsu dan maklumat yang mengelirukan tentang peperangan itu di laman perkongsian video tersebut.

"TikTok sememangnya tidak ‘berperang’ dengan betul. Saya tidak pernah melihat mana-mana platform lain yang banyak dipenuhi kandungan palsu.

“Kami sudah melihat kesemuanya – video dari konflik lama yang dikitar semula, visual asli tapi disampaikan dengan gambaran salah, dan hal-hal yang sangat jelas palsu tetapi mendapat jutaan tontonan,” katanya kepada AFP.

Tambahnya, paling menjengkelkan adalah penstriman langsung dengan pengendalinya berpura-pura berada di lapangan di Ukraine, namun sebenarnya menggunakan visual dari konflik perang berbeza ataupun memanipulasi permainan video; malah meminta wang kononnya untuk menampung kos liputan itu.

"Jutaan pengguna lain menontonnya. Mereka malah menambah bunyi tembakan dan letupan yang sengaja direka-reka,” kata Sardarizadeh.

Sementara itu, Anastasiya Zhyrmont dari Access Now, sebuah kumpulan advokasi, berkata bukan lagi alasan untuk percaya bahawa peperangan itu tercetus secara mengejut.

“Konflik ini mula memuncak sejak 2014, dan semua masalah berkaitan propaganda Kremlin dan maklumat palsu telah bertambah menerusi TikTok, lebih awal daripada hari serangan terjadi.

"Mereka berjanji untuk menggandakan usaha dan bekerjasama dengan pemantau kandungan, tapi saya tidak pasti jika mereka memandang serius tanggungjawab itu,” tambahnya.

Zhyrmont berkata, antara penyumbang masalah itu adalah kekurangan moderator kandungan dalam bahasa Ukraine, lantas merumitkan TikTok untuk mengesan maklumat palsu.

"Cara anda menerima maklumat di TikTok – dengan menatal pantas dari satu video ke video seterusnya  – bermakna tiada konteks diberikan pada kandungan tersebut,” ujar Chine Labbe dari NewsGuard, organisasi yang menjejak kesalahan maklumat dalam talian.

Labbe memberitahu, kekurangan perantara dan pelabelan kandungan yang efektif dalam TikTok, dan ditambah dengan fungsi yang mendesak pengguna untuk menonton kandungan popular, menjadikan platform itu medan ‘terbaik’ untuk menyebar maklumat salah.

TikTok telah mengenal pasti masalah itu.

Dalam satu hantaran blog pada 4 Mac, syarikat itu berkata ia "menggunakan kombinasi teknologi dan manusia untuk melindungi platormnya" dan bekerjasama dengan pihak pemantau fakta bebas untuk memberikan lebih konteks dalam kandungannya.