DUNIA

Timbalan Panglima Tentera Laut Rusia terbunuh di wilayah Kursk

Bernama 03/07/2025 | 20:30 MYT
Orang awam di Vladivostok meninggalkan kuntuman bunga di sebuah papan tanda yang memaparkan wajah Mejar Jeneral Mikhail Gudkov, setelah berita kematiannya diumumkan. - Gambar Reuters
VLADIVOSTOK (Rusia): Timbalan Panglima Tentera Laut Rusia, Mejar Jeneral Mikhail Gudkov terkorban ketika menjalankan misi tempur di Wilayah Kursk, menurut Gabenor Wilayah Primorye, Oleg Kozhemyako.

Dalam satu hantaran di Telegram, Kozhemyako turut memaklumkan, rakan rapat Gudkov, Nariman Shikhaliyev juga terbunuh, lapor agensi berita TASS.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan Mikhail Gudkov, Nariman Shikhaliyev, serta semua pejuang lain yang terkorban di Wilayah Kursk," kata beliau dalam catatan beliau.

Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan pada Khamis bahawa Gudkov meninggal dunia pada 2 Julai di kawasan sempadan ketika menjalankan operasi tempur.

Kozhemyako berkata, sekalipun memegang jawatan tertinggi dalam komando, Gudkov sering melawat barisan hadapan unit infantri laut.

Gudkov, 42, pernah mengetuai Briged Infantri Laut Ke-155 Armada Pasifik sejak permulaan operasi ketenteraan khas pada 24 Feb 2022.

Pada Mac 2025, beliau dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut Rusia.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan pelantikan itu semasa pertemuan bersama kelasi kapal selam berkuasa nuklear Arkhangelsk.

Gudkov bertanggungjawab ke atas keseluruhan pasukan infantri laut, peluru berpandu dan artileri pantai Tentera Laut Rusia.

-- BERNAMA



#mikhail gudkov #tentera Rusia #timbalan panglima tentera laut #Kursk #wilayah sempadan