Skip to main content

Dunia

Timor-Leste tutup sekolah tiga hari akibat jerebu rentas sempadan

Kerajaan Timor-Leste pada Rabu berkata penutupan sekolah dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan pelajar, guru dan warga pendidikan susulan kemerosotan kualiti udara. -Foto Reuters
Kerajaan Timor-Leste pada Rabu berkata penutupan sekolah dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan pelajar, guru dan warga pendidikan susulan kemerosotan kualiti udara. -Foto Reuters

Advertisement

Ringkasan AI

  • Timor-Leste menutup semua sekolah selama tiga hari bermula Khamis akibat jerebu rentas sempadan dari kebakaran hutan di Indonesia.
  • Kerajaan menggesa orang ramai memakai pelitup muka dan memastikan kanak-kanak berada di rumah bagi melindungi kesihatan daripada pencemaran udara.
  • Kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan pencemaran udara yang menjejaskan beberapa negara jiran termasuk Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste.

DILI: Timor-Leste menutup sekolah di seluruh negara selama tiga hari bermula Khamis susulan jerebu rentas sempadan yang dibawa oleh asap kebakaran hutan di Indonesia.

Di ibu negara, Dili, aktiviti harian penduduk kelihatan berjalan seperti biasa meskipun langit diselubungi jerebu kekuningan, namun ramai memilih memakai pelitup muka susulan nasihat kesihatan yang dikeluarkan kerajaan sehari sebelum itu.

Penduduk setempat menyambut baik keputusan menggantung sesi persekolahan walaupun ada yang berpendapat keadaan pencemaran udara lebih buruk pada awal minggu ini.

Bidan tempatan, Sonya da Costa Soares, 30, berkata keadaan jerebu sejak kebelakangan ini menyebabkan penduduk sukar melihat matahari.

"Sejak kebelakangan ini, pencemaran udara di Dili amat teruk sehingga kami langsung tidak dapat melihat matahari kerana ketebalan jerebu yang melampau," katanya kepada AFP.

Walaupun anaknya masih belum bersekolah, beliau berkata langkah mengekalkan pelajar di rumah penting bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko kesihatan.

Pihak berkuasa berkata Indonesia kerap berdepan kebakaran hutan ketika musim kemarau, namun situasi tahun ini dilaporkan lebih buruk berbanding kebiasaan.

Kebakaran itu memusnahkan kawasan hutan dan ladang yang luas di Indonesia serta menyebabkan pencemaran udara menjejaskan beberapa negara jiran termasuk Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste.

Kerajaan Timor-Leste pada Rabu berkata penutupan sekolah dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan pelajar, guru dan warga pendidikan susulan kemerosotan kualiti udara.

Pihak berkuasa turut menggesa ibu bapa memastikan anak mereka berada di dalam rumah serta menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka jika perlu berada di luar.

Seorang pelajar Kolej St Ignatius Loyola, Vitaliano da Costa Calapes, 18, berkata dia menggunakan tempoh penutupan sekolah itu untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir.

"Kami berada di rumah tetapi tetap meneruskan sesi pembelajaran kendiri berikutan kami sedang menghadapi peperiksaan akhir.

"Kami berharap dalam masa terdekat pencemaran ini akan hilang dan persekolahan dapat kembali berjalan seperti biasa," katanya.

Seorang lagi penduduk, Felicidade Alves dos Santos Martins, berkata udara di Dili dan kawasan pergunungan sekitarnya sebelum ini kelihatan diselubungi asap tebal yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Mengapa sekolah di seluruh Timor-Leste ditutup selama tiga hari? 
    A: Sekolah ditutup selama tiga hari bermula Khamis sebagai langkah pencegahan susulan jerebu rentas sempadan yang dibawa oleh asap kebakaran hutan di Indonesia, bagi melindungi kesihatan pelajar, guru dan warga pendidikan.
  • Q: Apakah punca utama jerebu yang melanda Timor-Leste? 
    A: Jerebu berpunca daripada asap kebakaran hutan di Indonesia yang merebak ke beberapa negara jiran termasuk Timor-Leste.
  • Q: Apakah langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk melindungi penduduk? 
    A: Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka jika perlu berada di luar dan menggesa ibu bapa memastikan anak-anak berada di dalam rumah.
  • Q: Bagaimana penduduk tempatan memberi reaksi terhadap penutupan sekolah? 
    A: Penduduk menyambut baik keputusan penutupan sekolah kerana ia dapat mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko kesihatan akibat pencemaran udara.
  • Q: Apakah kesan jerebu terhadap aktiviti harian di Dili? 
    A: Aktiviti harian di Dili berjalan seperti biasa walaupun langit diselubungi jerebu kekuningan, namun ramai penduduk memilih memakai pelitup muka dan pelajar meneruskan pembelajaran kendiri di rumah.

Product Recommendation Section Title

SOME BY MI Daily Mask 30pcs

SOME BY MI Daily Mask 30pcs

Must Watch Video

Advertisement