DUNIA

Tindakan tegas Korea Selatan jejas aktivis belon anti-Korea Utara

Agensi 07/07/2025 | 05:07 MYT
Peralatan yang digunakan aktivis Lee Min-bok untuk menghantar belon berisi risalah anti-Kim Jong Un dari Korea Selatan ke Korea Utara kini dibiarkan berhabuk dan dipenuhi sawang. - Reuters
POCHEON: Peralatan yang digunakan aktivis Lee Min-bok untuk menghantar belon berisi risalah anti-Kim Jong Un dari Korea Selatan ke Korea Utara kini dibiarkan berhabuk dan dipenuhi sawang selepas beliau menghentikan operasinya beberapa bulan lalu.

Langkah itu diambil susulan kemenangan ahli politik berhaluan liberal itu dalam pilihan raya presiden Korea Selatan pada Jun lalu.

“Saya lakukan secara senyap, apa salahnya? Provokasi terhadap Korea Utara? Tidak sama sekali.

“Tetapi lihatlah betapa seriusnya keadaan sekarang. Polis berada di mana-mana, menyebabkan kekacauan. Walaupun saya mahu lakukannya secara senyap, saya tak boleh. Setiap gerakan saya dilaporkan,” kata Lee Min-bok pada Selasa.

Lee Jae Myung, bekas peguam hak asasi manusia sebelum ini memaklumkan aktivis yang meneruskan operasi belon harus dikenakan hukuman berat kerana tindakan itu mencetuskan kemarahan Korea Utara.

Sejak beberapa tahun lalu, pihak polis memantau Lee dari rumah berhampiran yang mana beliau kini menghabiskan masa menulis kritikan terhadap kerajaan Korea Selatan di media sosial.

Dalam masa sama, langkah pentadbiran Presiden Lee Jae Myung disambut baik oleh sebahagian penduduk berhampiran sempadan yang berpendapat pelancaran belon tersebut membahayakan keselamatan mereka.

Presiden Lee, yang mula memegang jawatan pada 4 Jun, berikrar untuk memperbaiki hubungan dengan Korea Utara yang memiliki senjata nuklear, sambil menegaskan ketegangan dengan Pyongyang memberi kesan negatif terhadap ekonomi.

Selepas Presiden Lee mengarahkan tindakan untuk menghentikan pelancaran risalah, pihak berkuasa dan polis merancang untuk menempatkan anggota di kawasan sempadan serta menggunakan undang-undang keselamatan penerbangan untuk menghukum aktivis.





#Korea Utara #Pyongyang #North Korea #Kim Jong Un