Tokyo 2020: Patung sumo dialihkan, namun pereka gelanggang ekuestrian pertahankan hasil kerjanya

Agensi
Ogos 7, 2021 03:36 MYT
Patung sumo di halangan Nombor 10 akhirnya dialihkan selepas mengambil kira pandangan daripada peserta ekuestrian. - AP
TOKYO: Replika peserta sumo mungkin telah membuatkan beberapa kuda dan penunggang di acara ekuestrian temasya Olimpik Tokyo terkejut, namun pereka gelanggang tetap mempertahankan keputusannya untuk meletakkan patung bersaiz sebenar itu di halangan tersebut.
Agensi berita AP melaporkan, patung sumo itu dan sebuah replika pokok sakura, yang menurut peserta ekuestrian mengganggu fokus kuda mereka sewaktu lompatan, adalah antara dekorasi yang kini disimpan.
Keputusan itu dibuat menjelang permulaan acara berkumpulan.
Pereka gelanggang, Santiago Varela, memang sebelum ini sudah merancang untuk mengalihkan patung sumo itu semasa acara berkumpulan. Dia mendakwa perubahan yang dilakukannya itu tiada kena-mengena dengan aduan penunggang acara individu mengenai kewujudannya yang menjejas perhatian haiwan-haiwan mereka.
Varela bagaimanapun, tetap dengan pendiriannya bahawa patung sumo rekaan kreatifnya itu tidak boleh dipersalahkan dalam insiden beberapa kuda yang gagal melepasi halangan.
BACA: Opocot! Atlet ekuestrian dakwa patung sumo buat kuda terkejut
“Saya rasa perbincangan ini tidak relevan. Saya percaya seseorang telah bertemu pihak media untuk mengatakan sesuatu yang tidak benar. Ada saja kuda-kuda yang dapat melompat dengan baik di situ." ujarnya.
Dalam acara individu sebelum ini, beberapa peserta pertandingan gagal mengawal kuda mereka di halangan yang diletakkan patung sumo itu. Di satu sudut ketika hendak menghampiri halangan Nombor 10, penunggang dan kuda akan jelas melihat bahagian punggung patung sumo itu yang terdedah.
“Apabila anda mendekati (halangan), anda nampak punggung seorang lelaki bertubuh besar. Saya perasan ada empat atau lima kuda yang terkejut," kata penunggang Britain, Harry Charles.
Susun atur dan dekorasi gelanggang lazimnya bertukar berdasarkan pusingan acara, dan beberapa halangan dengan tema dekorasi beridentitikan Jepun telah ditukar pada Jumaat.
Dekorasi halangan terbaru termasuk samurai dan replika sushi bersaiz besar.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Tokyo 2020 #ekuestrian #patung sumo #kuda terkejut #halangan #replika #Olimpik #Tokyo