[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
DUNIA

TPM Itali berdepan perbicaraan lanjutan berhubung bot pendatang

Bernama 18/07/2025 | 21:20 MYT
Timbalan Perdana Menteri Salvini, akan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah berhubung tindakan kerasnya terhadap kehadiran pelarian di Laut Mediterranean. - Gambar Reuters
ROM: Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini, akan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah berhubung tindakan kerasnya terhadap kehadiran pelarian di Laut Mediterranean.

Pejabat pendakwa raya pada Jumaat memaklumkan yang mereka akan merayu terhadap keputusan pembebasan terdahulu.

Kes ini kini akan terus dibawa ke Mahkamah Agung Itali di Rom, namun tarikh perbicaraan baharu masih belum ditetapkan.

Sebagai Menteri Pengangkutan dan Timbalan kepada Perdana Menteri, Giorgia Meloni, Salvini adalah antara tokoh utama dalam kerajaan campuran tiga parti berhaluan kanan di Rom.

Semasa memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dalam Kabinet sebelum ini, beliau dikenali di peringkat antarabangsa kerana pendirian keras terhadap pendatang, terutamanya mereka yang tiba dengan bot dari Timur Tengah dan Afrika Utara.

Terdapat beberapa pertikaian antara beliau dan organisasi bantuan Jerman yang menyelamat pendatang di laut.

Ketua Parti Liga berhaluan kanan itu dibicarakan di Sicily sehingga Disember tahun lepas kerana menghalang sebuah kapal membawa pelarian daripada berlabuh di pelabuhan selama berminggu-minggu pada 2019, ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri.

Mahkamah di Palermo membebaskan Salvini daripada tuduhan menyekat kebebasan dan menyalahgunakan kuasa.

Kapal milik organisasi Sepanyol Open Arms berada di perairan berhampiran Pulau Lampedusa dengan lebih 160 pelarian, tetapi tidak dibenarkan memasuki pelabuhan. Beberapa orang terjun ke laut dan cuba berenang ke darat.

Kapal itu hanya dibenarkan berlabuh selepas pendakwa raya mengarahkan ia berbuat demikian namun bertentangan dengan kehendak menteri.

Dengan garis pantai yang panjang serta beberapa pulau di Laut Mediterranean, Itali menjadi antara negara Eropah yang paling terkesan dengan migrasi merentasi laut.

Salvini menggambarkan dirinya sebagai mangsa badan kehakiman yang dipolitikkan dan menuduh pihak berkuasa menganiaya dirinya atas motif politik.

-- BERNAMA



#TPM Itali #Matteo Salvini #kes pelarian #laut mediterranean