[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

TRAFFIC keluarkan amaran trend perdagangan harimau semakin berbahaya

Bernama 26/11/2025 | 20:15 MYT
Perdagangan harimau haram kini memasuki fasa baharu yang lebih berbahaya di peringkat global, apabila rangkaian jenayah semakin kerap memperdagangkan harimau hidup atau yang mati secara keseluruhan berbanding bahagian tubuh haiwan. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Perdagangan harimau haram kini memasuki fasa baharu yang lebih berbahaya di peringkat global, apabila rangkaian jenayah semakin kerap memperdagangkan harimau hidup atau yang mati secara keseluruhan berbanding bahagian tubuh haiwan.

Menurut laporan terbaharu TRAFFIC bertajuk, Beyond Skin and Bones: A 25-Year Analysis of Tiger Seizures from Jan 2000 to June 2025, perdagangan harimau haram kekal sebagai krisis berterusan, dengan sekurang-kurangnya 3,808 ekor harimau dirampas dalam 2,551 kes rampasan di seluruh dunia sepanjang 25 tahun lalu.

"Secara global, rampasan melibatkan harimau lengkap (mati atau hidup) meningkat daripada 10 peratus pada awal 2000-an kepada 40 peratus sejak 2020," menurut laporan itu, sambil menunjukkan rampasan spesies tersebut meningkat empat kali ganda sejak awal 2000-an.

Negara Julat Harimau (TRC) menyumbang 83 peratus daripada jumlah rampasan harimau sepanjang tempoh penilaian, dengan India, China, Indonesia dan Vietnam mencatat angka rampasan tertinggi.

Dalam tempoh lima tahun lalu, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Rusia - empat TRC teratas - merangkumi 63 peratus daripada semua rampasan harimau lengkap.

Negara-negara ini kini mendominasi operasi perdagangan keseluruhan haiwan tersebut, dengan rekod rampasan pada 2023 menunjukkan industri yang berkembang lebih cepat daripada kemampuan pihak berkuasa mengekangnya.

Antara 2020 dan 2025, negara yang tidak lagi mempunyai populasi harimau liar berdaya maju, atau yang menempatkan pusat pembiakan harimau secara tertutup berskala besar, turut melaporkan kadar rampasan harimau lengkap yang tinggi.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai kemungkinan harimau yang dibiak dalam kurungan bocor ke pasaran gelap.

Harimau dirampas di India dan Indonesia dipercayai kebanyakannya diburu dari habitat liar, manakala rampasan di Vietnam lazimnya berpunca daripada sumber pembiakan dalam kurungan.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa walaupun kulit dan tulang harimau masih menjadi item utama dalam perdagangan haram, rampasan melibatkan kuku dan gigi - digunakan untuk aksesori fesyen dan azimat -meningkat mendadak sejak sekitar 2020.

TRAFFIC sekali lagi menggesa kerajaan memperkukuh penguatkuasaan dan pendakwaan berasaskan impak, sambil menegaskan bahawa siasatan tidak boleh terhenti pada peringkat rampasan tetapi mesti diteruskan sepanjang rantaian bekalan bagi memusnahkan keseluruhan rangkaian jenayah.

Organisasi itu turut menggesa peraturan lebih ketat terhadap kemudahan pembiakan harimau, termasuk pendaftaran mandatori, pemantauan berterusan dan pemeriksaan selaras dengan keperluan CITES.

Kemudahan yang didapati membiak harimau untuk perdagangan komersial perlu ditutup.

TRAFFIC turut menggesa pelaksanaan kempen bersasar dan berasaskan bukti untuk mengurangkan permintaan pengguna terhadap produk haram berasaskan harimau.

Ia memberi amaran bahawa jumlah rampasan yang kekal tinggi menunjukkan perdagangan haram masih tidak terbendung di rantau ini, sekali gus mengancam kelangsungan spesies yang sudah pun terancam.

TRAFFIC ialah pertubuhan bukan kerajaan terkemuka untuk memastikan perdagangan spesies liar dilakukan secara sah dan mampan demi manfaat planet dan manusia.

-- BERNAMA




#traffic #perdagangan harimau #berbahaya #buru