Trafik udara Greece pulih sebahagian selepas gangguan di seluruh negara

Siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan dengan penyertaan pihak berkuasa penerbangan awam negara itu serta badan berkaitan lain. - Gambar hiasan
ATHENS: Trafik udara di Greece pulih sebahagiannya pada petang Ahad selepas gangguan besar menjejaskan semua lapangan terbang di seluruh negara dan menghentikan penerbangan masuk serta keluar, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Punca gangguan itu masih belum dikenal pasti. Bagaimanapun, penyiar awam Greece, ERT, melaporkan bahawa satu sistem komunikasi alternatif telah digunakan, sekali gus membolehkan sebahagian penerbangan berlepas.
ERT menambah bahawa siasatan bersama secara menyeluruh sedang dijalankan dengan penyertaan pihak berkuasa penerbangan awam negara itu serta badan berkaitan lain.
Menurut penyiar berkenaan, setakat ini hanya kira-kira 35 penerbangan lintas ruang udara dibenarkan, manakala kebanyakan penerbangan ke dan dari Greece dilencongkan ke lapangan terbang di negara jiran, Turkiye.
Sementara itu, syarikat telekomunikasi utama Greece, OTE memaklumkan bahawa gangguan berkenaan bukan berpunca daripada kegagalan teknikal pada litar miliknya, sekali gus menyangkal laporan media sebelum ini yang mengaitkan masalah berkenaan dengan kerosakan litar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


