DUNIA

Trafik udara terjejas di Lapangan Terbang Copenhagen akibat dron

Bernama 23/09/2025 | 04:20 MYT
Insiden berlaku tidak lama selepas serangan siber ke atas penyedia perkhidmatan IT yang menjejaskan operasi di beberapa lapangan terbang Eropah, termasuk Berlin, Brussels, London Heathrow dan Dublin. - Gambar hiasan/ Reuters
COPENHAGEN: Trafik udara di Lapangan Terbang Copenhagen digantung sementara selepas beberapa dron dikesan berhampiran kawasan lapangan terbang, menurut polis Copenhagen lewat Isnin, lapor agensi berita Jerman dpa.


Ringkasan AI
  • Trafik udara di Lapangan Terbang Copenhagen digantung sementara selepas beberapa dron dikesan berhampiran kawasan lapangan terbang, menyebabkan pelepasan dan pendaratan dihentikan buat seketika.
  • Operasi telah disambung semula namun beberapa penerbangan mengalami kelewatan, dibatalkan atau dilencongkan ke lapangan terbang lain seperti Billund dan Gothenburg. Penumpang dinasihatkan menyemak jadual dengan syarikat penerbangan masing-masing.
  • Punca aktiviti dron masih belum diketahui, dan insiden berlaku selepas serangan siber ke atas penyedia perkhidmatan IT yang menjejaskan operasi beberapa lapangan terbang utama Eropah.


Lapangan terbang itu ditutup seketika bagi pelepasan dan pendaratan.

"Lapangan Terbang Copenhagen telah dibuka semula selepas ditutup akibat aktiviti dron.

"Namun, akan berlaku kelewatan dan beberapa penerbangan berlepas dibatalkan," menurut Lapangan Terbang Copenhagen Kastrup awal Selasa.

Penumpang dinasihatkan untuk menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing untuk maklumat lanjut, menurut kenyataan itu.

Lapangan terbang itu adalah antara yang terbesar di Scandinavia, selain Lapangan Terbang Arlanda di Stockholm dan Gardermoen di Oslo.

Beberapa penerbangan yang dijadual berlepas atau tiba di Copenhagen sama ada ditangguhkan, dibatalkan atau dilencongkan ke lapangan terbang lain termasuk Billund, sebuah bandar kecil di barat Copenhagen dan Gothenburg di Sweden.

Punca aktiviti dron itu masih belum diketahui.

Insiden berlaku tidak lama selepas serangan siber ke atas penyedia perkhidmatan IT yang menjejaskan operasi di beberapa lapangan terbang Eropah, termasuk Berlin, Brussels, London Heathrow dan Dublin.

-- BERNAMA


#Lapangan Terbang Copenhagen #serangan siber #dron #operasi terjejas