Tragedi letupan gereja Makassar: 2 pengebom bunuh diri maut, 14 cedera

Astro Awani
Mac 28, 2021 06:48 MYT
Kejadian letupan bom di luar pintu masuk Gereja Katedral di Makassar, Sulawesi Selatan hari ini yang dipercayai dilakukan oleh pengebom bunuh diri, mencederakan 14 orang setakat tengah hari tadi. - Foto Reuters
JAKARTA: Dua pengebom bunuh diri yang dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian letupan di luar pintu masuk Gereja Katedral di Makassar, Sulawesi Selatan pada Ahad dipercayai maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Sulawesi Selatan Irjen Pol Merdysam yang mengesahkan perkara ini berkata, 14 orang turut tercedera dalam kejadian kira-kira 10.28 pagi waktu Indonesia bahagian tengah itu.
Ketua Divisi Hubungan Masyarakat Polis Indonesia Argo Yuwono berkata, dua suspek yang menunggang sebuah motosikal cuba memasuki kawasan gereja berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan gereja.
BACA: Tragedi letupan gereja Makassar, Indonesia kecederaan dilaporkan
"Pengawal keselamatan menahan mereka dan sejurus kemudian berlaku letupan. Polis masih menyelidik jumlah bahagian-bahagian tubuh yang hancur akibat letupan itu (jumlah yang terbunuh dalam kejadian berkenaan)," kata Argo dalam sidang media di Jakarta.
[TERKINI] Letupan berlaku di Gereja Katedral Makassar, Indonesia
Letupan itu turut melibatkan beberapa pengguna jalan raya yang sedang melalui jalan berkenaan.
Berdasarkan video yang tersebar di media sosial, bahagian tubuh yang berkecai bertaburan di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
#bom Makassar #katedral gereja makassar #media sosial #Argo Yuwono #keselamatan #pengebom bunuh diri #jemaah gereja