Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood, Christchurh selepas waktu Zohor (waktu tempatan) pada Khamis.

Muhammad Haziq merupakan antara 50 mangsa yang terkorban selepas tragedi serangan pengganas yang berlaku di Masjid Al-Noor di Deans Ave pada Jumaat lepas.

Bapa kepada arwah, Mohd Tarmizi mengiringi jenazah anak lelakinya, Haziq sewatu pengebumian yang turut disertai ratusan umat Islam dari Malaysia, Afghanistan dan Iran.

Ibu dan kakak arwah Muhammad Haziq dilaporkan telah membuat keputusan untuk tidak berada di tempat pengebumian sebaliknya hanya berada di rumah kerana ingin bersendirian dan memilih untuk menziarahi pusara anaknya kelak.


Suruhanjaya Tinggi New Zealand, meminta semua pihak agar menghormati privasi keluarga arwah mangsa dan tidak bersikap keterlaluan dalam mendapatkan maklumat buat masa ini.

Mohd Haziq merupakan anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42 tahun, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian, Mohd Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12 tahun dan Muhammad Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Al Noor.


Mohd Tarmizi mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan dan telah dibenarkan pulang dari hospital selepas menjalani pembedahan. Mohd Haris tidak mengalami apa-apa kecederaan namun dilaporkan trauma akibat tragedi berkenaan.