INTERNATIONAL
Tragedi tikaman di Sydney: Tiga kanak-kanak, seorang wanita dikejarkan ke hospital

Tiga kanak-kanak dan seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas insiden tikaman di sebuah kediaman di barat laut Sydney. - Gambar hiasan
SYDNEY: Tiga kanak-kanak dan seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas insiden tikaman di sebuah kediaman di barat laut Sydney, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan sekitar 5.20 pagi waktu tempatan berhubung insiden itu sebelum sepasukan polis dan paramedik dikerahkan ke lokasi, kira-kira 23 kilometer dari pusat bandar Sydney.
Setibanya di tempat kejadian, polis menemukan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, dua remaja perempuan berumur 13 dan 16 tahun, serta seorang wanita berusia 46 tahun, semuanya mengalami kecederaan akibat tikaman.
Menurut kenyataan polis, keempat-empat mangsa dipercayai mempunyai hubungan antara satu sama lain.Mereka menerima rawatan kecemasan di lokasi sebelum dihantar ke hospital berhampiran dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu, laporan Australian Broadcasting Corporation memaklumkan, wanita berkenaan dibawa ke hospital dalam kawalan polis, dan siasatan awal mendapati tiada individu lain yang sedang diburu berhubung kes itu.
Pihak polis menutup kawasan kejadian dan sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami