DUNIA

Trump akan hantar surat maklumkan kadar tarif kepada negara terlibat

Bernama 28/06/2025 | 05:45 MYT
Trump berkata AS sedang dalam proses memeterai perjanjian perdagangan dengan beberapa negara lain, termasuk India. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Jumaat berkata beliau akan menghantar surat dalam tempoh seminggu setengah akan datang bagi memaklumkan kepada negara-negara mengenai kadar tarif Amerika Syarikat (AS) yang mereka perlu bayar, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ringkasan AI
  • Presiden Donald Trump menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan menghantar surat kepada negara-negara dalam tempoh seminggu setengah untuk memaklumkan kadar tarif yang perlu dibayar bagi menjalankan perniagaan di AS.
  • Trump menjelaskan bahawa AS sedang memeterai perjanjian perdagangan dengan beberapa negara termasuk India, dan menyatakan fleksibiliti terhadap tarikh akhir perdagangan 9 Julai.
  • Beliau turut mengulangi bahawa AS telah mengutip sebanyak AS$88 bilion hasil daripada tarif dan menyatakan hasrat mengenakan kadar tarif 25 peratus kepada semua negara.

"Pada satu ketika, dalam tempoh seminggu setengah atau lebih atau mungkin lebih awal, kami akan menghantar surat; kami telah bercakap dengan banyak negara dan kami hanya akan memaklumkan kepada mereka apa yang mereka perlu bayar untuk menjalankan perniagaan di Amerika Syarikat," kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
Trump berkata AS sedang dalam proses memeterai perjanjian perdagangan dengan beberapa negara lain, termasuk India.
Ketika ditanya mengenai tarikh akhir perdagangan pada 9 Julai, presiden itu berkata ia bukan tarikh tetap.
"Kami boleh melakukan apa sahaja yang kami mahu. Kami boleh melanjutkannya. Kami boleh memendekkannya. Saya lebih suka memendekkannya. Saya hanya mahu menghantar surat kepada semua orang: 'Tahniah. Anda akan membayar 25 peratus'," tambahnya.
Trump turut mengulangi bahawa AS telah mengutip sebanyak US$88 bilion daripada hasil tarif.
-- BERNAMA
#Donald Trump #rundingan tarif #perjanjian tarif #keputusan