DUNIA

Trump akan umum calon Pengerusi Fed awal 2026, Kevin Hassett disebut-sebut

Astro Awani 02/12/2025 | 23:40 MYT
Trump tidak mendedahkan siapa calon pilihannya. - Foto AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau akan mengumumkan calon pilihannya untuk menggantikan Jerome Powell sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) pada awal tahun depan, walaupun menyatakan beliau “sudah tahu” siapa yang akan dipilih untuk mengetuai bank pusat paling berpengaruh di dunia.


Ringkasan AI
  • Donald Trump akan mengumumkan calon pengganti Jerome Powell sebagai Pengerusi Fed pada awal tahun depan, walaupun beliau menyatakan sudah membuat keputusan.
  • Trump menegaskan bahawa Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent tidak berminat untuk jawatan tersebut, tetapi calon yang dipilih tidak diumumkan.
  • Calon utama yang dispekulasikan ialah Kevin Hassett, penasihat ekonomi utama Trump yang dikenali sebagai penyokong dasar tarif import dan kadar faedah rendah.


Menurut laporan Reuters, Trump membuat kenyataan itu dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa, sambil menambah bahawa Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, yang mengetuai proses pencarian, tidak berminat untuk menyandang jawatan tersebut.

Namun, Trump tidak mendedahkan siapa calon pilihannya.

Trump sebelum ini memberitahu wartawan bahawa beliau telah membuat keputusan, tetapi enggan mengesahkan sama ada calon itu ialah Kevin Hassett, penasihat ekonomi utamanya yang menjadi pilihan utama dalam pasaran pertaruhan dalam talian.

“Saya rasa bakal Pengerusi Fed pun ada di sini. Boleh saya cakap begitu? Bakal. Dia seorang yang dihormati, itu saya boleh sahkan. Terima kasih, Kevin,” kata Trump dalam satu acara di White House pada hari yang sama.

Hassett, 63, pernah mengetuai Majlis Penasihat Ekonomi White House semasa penggal pertama Trump dan dikenali sebagai penyokong kuat dasar tarif import serta kadar faedah rendah.

Beliau juga kerap muncul di saluran CNBC dan Fox News, menyatakan sokongan terbuka terhadap dasar ekonomi Trump.

Dengan pejabatnya terletak di West Wing dan akses langsung kepada presiden, Hassett dilihat sebagai calon yang berpengaruh dalam membentuk pandangan Trump terhadap dasar monetari dan perdagangan.






#Donald Trump #Pengerusi Fed #Kevin Hassett #Scott Bessent